[Artikel: 4 Kelebihan Menuntut Ilmu Sains Kesihatan Di Bumi Mesir Yang Anda Perlu Tahu]

4 KELEBIHAN MENUNTUT ILMU SAINS KESIHATAN DI BUMI MESIR YANG ANDA PERLU TAHU

 

Tidak dapat dinafikan lagi bahawa Mesir kini menjadi salah satu destinasi pelajar lepasan SPM melanjutkan pelajaran dalam jurusan sains kesihatan. Mesir mempunyai nilai estetiknya tersendiri dan penuh dengan mutiara yang unik untuk diterokai.

 

#1 GEDUNG ILMU

Sejak berates-ratus tahun Kota Kaherah telah dikenali dengan pusat perkembangan ilmu. Sehingga hari ini ia masih unggul dengan penyebaran ilmu. Anda boleh mengikuti kelas talaqqi mahu pun kelas-kelas agama yang disediakan sama ada di masjid atau pun persatuan pelajar yang ada di sana. Betapa ruginya kita sekiranya duduk di tanah yang dibanjiri ulama tersohor dan agamawan tidak dicedok ilmu tersebut sebanyaknya.

Bahagikan masa sebaiknya, anda akan dapat kedua-duanya. Ilmu dunia dan ilmu mengenal akhirat juga.

 

#2 LUKISAN SEJARAH NABI MUSA A.S HINGGA FIRAUN

Setiap pelosok wilayah di Mesir ini adalah sejarah. Bermula daripada kisah Nabi Musa A.S sehinggalah coretan tentang si zalim Firaun.

Pelbagai tempat bersejarah dan destisani  yang boleh dilawati. Sama ada bagi mengisi masa lapang atau pun melapangkan fikiran daripada keserabutan kuliah. Mungkin sahaja tempat-tempat tersebut bakal menghiasi perjalanan kalian apabila pergi dan balik dari kuliah kelak. Antara tempat-tempat menarik:

  • Universiti Al-Azhar dan Sungai Nil (dua tempat ini sudah pasti tidak perlu saya perkenalkan kepada anda lagi)
  • Iskandariah – Bandar kedua terbesar di Mesir selepas Kaherah. Tempat menarik antaranya Makam Nabi Daniel, Kubu Qaitbey, dan Bibliotheca Alexandrina.
  • Gunung Sinai (atau dikenali juga dengan Jabal Musa)

 

#3 NEGARA YANG KAYA DENGAN BUDAYA

Ada satu perkara yang sangat membuka mata apabila kita melihat budaya masyarakat Mesir.

Ucapan salam sahut-menyahut walau di mana anda berada. Hatta berurusan dengan orang yang menjual roti sarapan pagi anda setiap pagi sebelum kuliah. Bulan Ramadhan pula antara bulan yang paling meriah di sana berbanding Syawal. Sambutannya jauh berbeza dengan kita di Malaysia.

 

#4 GURU-GURU YANG AWESOME

Saya pasti dalam kebanyakan kuliah saya dan sahabat-sahabat yang pernah belajar di sana, pensyarah kami pasti mengaitkan sedikit sebanyak apa yang dipelajari dengan al-Quran.

Pensyarah di sana amat mudah didekati dan tidak pernah kedekut ilmu. Saya ingat pesan salah seorang pensyarah saya,
“I will repeat this a thousand times until you understand,” katanya berulang-ulang kali. Saya hampir memintanya mengulang tajuk tersebut tiga kali tanpa rasa malu. Guru kita bersungguh mengajar kita kenapa tidak kita juga bersungguh untuk belajar.

 

Tanpa menafikan di ceruk mana pun di atas bumi Allah ini kita menuntut ilmu pasti ada kelebihan dan kekurangannya masing-masing.

Mata menyaksikan ramai yang berjaya sehingga ke akhir perjalanan tetapi dalam masa yang sama ada jua yang tersungkur. Terikut-ikut budaya malas, ponteng kelas dan sebagainya. Moga kita tidak diletakkan dalam golongan yang rugi.

Perbaharui niat setiap hari semoga Allah melindungi kita sepanjang menempuh jauhnya perjalanan menuntut ilmu kelak.

 

#ahlanjunior

“Embracing Diversity, Solidifying Unity”
“Ilmuwan Berbakti, Teguh Sehati”

Program Sambutan Mahasiswa Baharu (AHLAN),
PERUBATAN 2017/2018