FREQUENTLY-ASKED QUESTIONS (FAQs)

1. Apakah universiti yang terdapat di Mesir terutama dalam bidang sains kesihatan?

Secara umum, sains kesihatan terbahagi kepada tiga bidang pengajian antaranya ialah perubatan, farmasi dan pergigian yang menjadi tumpuan pelajar Malaysia di negeri-negeri (muhafazah) seluruh Mesir. Terdapat tujuh universiti yang menjadi tumpuan:

  • Universiti Kaherah
  • Universiti Ain Shams
  • Universiti al-Azhar
  • Universiti Tanta
  • Universiti Mansurah
  • Universiti Zagazig
  • Universiti Iskandariah

 

 2. Adakah penting buku-buku rujukan antarabangsa yang perlu dibawa dari Malaysia?

Kebiasaannya bagi pelajar sains kesihatan di Mesir, mereka lebih banyak menggunakan buku-buku rujukan yang dikeluarkan sendiri oleh pihak fakulti. Ini kerana silibus-silibus yang disediakan sudah memadai bagi setiap pelajar mengikut tahun disamping  fakta-fakta penting telah disusun didalam  buku rujukan tersebut dengan mengikut universiti masing-masing.

Penggunaan buku-buku rujukan antarabangsa tidak begitu dititik-beratkan di institusi-institusi pengajian di Mesir khususnya bagi tahun-tahun pra-klinikal. Namun begitu, buku-buku rujukan antarabangsa juga boleh membantu anda disamping dapat menambah ilmu-ilmu tambahan.

Baca lanjut barang cadangan untuk di bawa ke Mesir di sini:

http://ahlan.perubatan.org/08/18/senarai-barang-barang-untuk-dibawa-ke-mesir/

 

3. Bagaimanakah cara berkomunikasi menggunakan Bahasa Arab?

Pelajar-pelajar yang menuntut ilmu di Mesir mempunyai kelebihan untuk mendalami Bahasa Arab di sini. Di Mesir suasana yang menggalakkan penggunaan Arab sudah tersedia, apa yang tinggal hanyalah kemahuan sahaja.

Antara dilema yang sering dihadapi adalah antara  ‘ammiah (bahasa pasar) dan fushah (bahasa baku). Kedua-duanya perlu dikuasai dengan baik. Tetapi cara penguasaannya adalah berlainan. Untuk ‘ammiah pertuturan bersama warga tempatan perlu diperbanyakkan. Adapun fushah, penguasaan ilmu-ilmu alat lebih harus dititikberatkan.

Di Mesir, banyak tempat dan keadaan yang bakal membantu anda. Apa yang penting adalah kemahuan diri yang tinggi untuk menguasai Bahasa Arab.

Jom belajar ‘ammiyah di sini: http://ahlan.perubatan.org/09/19/mari-belajar-bahasa-arab-ammiyah/

 

4. Bagaimanakah cara penggunaan kad Bank Malaysia di Mesir?

Di awal keberadaan anda di Mesir, adalah sangat penting untuk mempunyai kad bank yang aktif. Ini kerana, wang yang bakal digunakan agak banyak untuk membeli buku, kelengkapan bilik seperti almari pakaian, peralatan rumah dan lain-lain.

Selalunya, kebanyakan pelajar akan buka akaun HSBC secara akaun bersama. Akaun bersama ini akan memberi dua kad kepada pemilik, satu untuk pelajar dan satu lagi untuk penjaga. Selepas akaun dibuka, pastikan kad itu diaktifkan terlebih dahulu (dengan withdraw dan deposit duit  terlebih dahulu ke dalam akaun bagi kedua-dua kad) supaya secara pastinya kad tersebut boleh diproses untuk kegunaan di sini kelak.

Jika  hendak bawa kad bank CIMB/Maybank/ BSN, pastikan fungsi VISA  itu telah diaktifkan. Anda boleh  withdraw (keluarkan) wang di sini di mana-mana mesin ATM yang berfungsi dengan dikenakan sedikit caj. Makluman terkini daripada pihak HSBC, kad debit HSBC perlu diaktifkan untuk penggunaan luar negara. Sebagai langkah awal, boleh juga untuk membawa sejumlah wang dolar Amerika (USD) untuk ditukarkan kepada nilai mata wang Mesir (LE). Di sini terdapat banyak perkhidmatan pertukaran wang dipanggil Sorofah (Money Changer).

 

5. Bagaimanakah dengan kos sara hidup di Mesir?

Secara purata, kos sara hidup pelajar Malaysia di sini adalah sekitar RM500 – RM1000 sebulan, namun bergantung kepada cara hidup pelajar itu sendiri yang merangkumi kos sewa rumah, makan minum, bil-bil semasa dan lain-lain.

Baca lanjut  di sini: http://ahlan.perubatan.org/09/05/anggaran-perbelanjaan-di-mesir/

 

Bagaimanakah dengan penempatan pelajar Malaysia di Mesir?

Kebanyakan pelajar di sini akan menyewa rumah sewa berdekatan dengan universiti sekaligus mewujudkan komuniti pelajar di kawasan penempatan masing-masing. Harga sewa rumah bergantung kepada negeri (muhafazah) di sekitar Mesir. Terdapat juga asrama pelajar di kawasan sekitar Kaherah yang disediakan oleh  kerajaan-kerajaan negeri dengan harga sewa yang murah dan berpatutan.

Baca lanjut harga rumah di sini http://ahlan.perubatan.org/09/29/kadar-sewa-rumah-di-sekitar-mesir-3/

 

6. Dimanakah saya boleh mencari barang-barang keperluan rumah dan apakah lingkungan harga yang berpatutan?

Setiap muhafazah terdapat pasar-pasar tertentu untuk membeli barang-barang keperluan rumah. Biasanya pelajar baru akan dibantu oleh senior-senior untuk dapatkan barang-barang tersebut. Jalan Abdul Aziz di Atabah, Kaherah dan kawasan sekitar selalunya sering menjadi pilihan. Pastikan anda berunding harga dengan sebaik-baiknya.

Anda juga boleh memperolehi barangan kelengkapan rumah daripada senior-senior tahun akhir yang akan pulang ke Malaysia sekitar bulan Januari hingga Mac dengan harga yang lebih murah.

 

7. Apakah pengangkutan awam yang terdapat di Mesir?

Kebanyakan pelajar Malaysia lebih suka menaiki pengangkutan awam untuk ke kuliah, kerana harganya yang lebih murah. Adapun bagi pelajar kawasan muhafazah, kebanyakan mereka lebih memilih untuk berjalan kaki kerana penempatan mereka berdekatan dengan kuliah. Antara pengangkutan awam yang terdapat di Mesir seperti teksi, microbus (van sewa), bas, Uber, Careem  dan keretapi (metro).

Kenali pengangkutan awam di Mesir di sini: http://ahlan.perubatan.org/09/19/166/

 

8. Adakah mudah untuk mendapatkan makanan mengikut selera rakyat Malaysia di Mesir?

Untuk makluman, makanan-makanan utama di sini kebanyakannya berasaskan roti, bijirin dan kekacang. Agak sukar untuk mendapatkan makanan berasaskan nasi. Namun, makanan-makanan di sini kebanyakannya masih mampu mengikut selera rakyat Malaysia. Terdapat juga restoran-restoran nusantara yang dibuka berdekatan di penempatan rakyat Malaysia lebih-lebih lagi di kawasan sekitar Kaherah.

 

9. Bagaimanakah keadaan cuaca di Mesir?

Mesir terbahagi kepada empat musim, musim sejuk, musim bunga, musim panas dan musim luruh. Musim yang paling ketara adalah musim sejuk sekitar 5°C  pada November hingga Januari dan musim panas sekitar 40°C pada Mei hingga Ogos.

Sebaiknya anda membuat  persediaan yang secukupnya mental dan fizikal terhadap cuaca di Mesir yang sememangnya berbeza berbanding Malaysia.

 

10. Apakah aktiviti-aktiviti lazim bagi pelajar Malaysia di Mesir pada musim cuti?

Kebanyakan  universiti di Mesir mempunyai cuti panjang pada musim sejuk dan musim panas. Banyak aktiviti yang dapat dilakukan pada waktu cuti tersebut antaranya seperti pergi ke kelas pengajian kitab, bersukan, dan banyak lagi.

Dari segi geografi, Mesir sangat dekat dengan negara-negara Timur Tengah dan Eropah yang lain. Justeru peluang untuk mengunjungi Baitul Haram, Kaabah dan bumi-bumi anbiya’ yang lain serta negara-negara Eropah lebih mudah dan murah. Di dalam Mesir sendiri terdapat tempat-tempat percutian terkenal seperti Pergunungan Sinai, Dahab, Ain Sukhna dan lain-lain.

Tidak dilupakan sewaktu cuti musim panas, terdapat juga pengajian kitab yang dijalankan oleh persatuan pelajar dan institusi pengajian di sini. Waktu cuti juga boleh dimanfaatkan dengan menghadiri kelas-kelas agama, serta mendalami pengajian Bahasa Arab.

Baca lanjut tempat menarik di Mesir  di sini: http://ahlan.perubatan.org/09/20/tempat-tempat-menarik-dan-bersejarah-di-mesir/