UNIVERSITI ISKANDARIAH

Universiti Iskandariah: Sejarah Ringkas

Universiti Iskandariah atau dikenali juga sebagai Universiti Alexandria amat terkenal di Mesir. Kedudukannya yang terletak berhampiran pantai menjadi pilihan pelajar-pelajar di samping sistem pembelajaran selaras dengan keperluan seluruh dunia

Pada tahun 1938, Universiti Iskandariah atau Alexandria, dahulunya dikenali sebagai Universiti Farouk sehinggalah ditukar namanya pada tahun 1952 bermula dengan dua fakulti iaitu fakulti Sastera dan Undang-Undang. Fakulti Kejuruteraan kemudiannya telah ditubuhkan pada tahun 1941.

Memandangkan keperluan untuk membangunkan lebih fakulti untuk pengajian tinggi dan dengan pandangan ke arah memenuhi keperluan rakyat daripada Iskandariah sendiri, Universiti Iskandariah menjadi sebuah entiti yang lain pada bulan Ogos 1942 dengan empat fakulti tambahan: Sains, Perdagangan, Perubatan dan Pertanian.

Fakulti perubatan yang telah diasaskan oleh dua orang doctor iaitu Mi Ibrahim Pasha (Professor Pembedahan) dan Dr. Mohamed Mahfouz Bey (pakar mata) pada Ogos 1942. Pembelajaran perubatan fakulti ini mengambil dua tempat berbeza mengikut pengajaran sama ada praklinikal ataupun klinikal. Pra-klinikal berlangsung di premis Hospital Mouassah, manakala pengajaran klinikal berlangsung di Hospital Miri.

 

(Bangunan akademik untuk pelajar praklinikal perubatan yang terletak di Hospital Mouassah)

                Fakulti Pergigian pula telah diasaskan pada 1945 sebagai sekolah pergigian yang merupakan sebahagian daripada Fakulti Perubatan pada awalnya. Hanya dua orang pelahar yang mengikuti tahun akademik 1945/1946. Fakulti Pergigian akhirnya dibangunkan dengan sendirinya pada 1970.

 

 

(Bangunan akademik untuk pelajar pergigian)

 

Pengangkutan

Kebanyakan mahasiswa Malaysia di Iskandariah menggunakan perkhidmatan kereta api atau lebih dikenali dengan nama tram dari kawasan rumah mereka ke tempat kuliah atau rumah rakan. Tambang menaiki tram adalah sebanyak LE1 dari perhentian yang pertama hinggalah perhentian yang terakhir.

Selain itu, van atau dikenali sebagai tramco turut dijadikan kenderaan pengangkutan untuk pelajar. Tambang menaiki tramco pula adalah dalam lingkungan LE 1.50 hingga LE 3.00.

Selain tram dan tramco, teksi juga merupakan pengangkutan utama para mahasiswa sama ada ke tempat kuliah atau ke mana-mana destinasi pilihan. Tambang teksi dari satu tempat ke satu tempat yang lain adalah bergantung kepada jarak perjalanan dan kesibukan lalu lintas.

Pengangkutan ke bandar-bandar lain seperti Kaherah, Tanta, Mansoura dan Zaqazig pula ialah kereta api, van, kereta sewa dan bas.

 

Tempat membeli-belah

Hidup berdikari di perantauan sememangnya tidak dapat lari dengan aktiviti membeli-belah untuk membeli barang keperluan diri dan rumah sewa. Pusat beli-belah yang menjadi tumpuan pelajar Malaysia di Iskandariah ialah Carrefour walaupun jarak Carrefour ke kawasan rumah para pelajar adalah jauh.

Selain itu, para pelajar turut gemar membeli barang keperluan mereka di Alex Market ataupun Fathalla yang lebih dekat dengan kawasan kediaman. Pasar Camp Caesar turut terkenal dalam kalangan pelajar Malaysia di Iskandariah untuk membeli barang basah bagi tujuan memasak.

 

Aktiviti riadah

 

(Aktiviti riadah di di bawah anjuran Biro Sukan dan Aktiviti Luar)


(Open Tournament Ikhwah 2019 – Futsal)

Hari Jumaat merupakan hari yang khusus untuk pelajar Malaysia di Iskandariah beriadah memandangkan sebilangan besar mahasiswa hanya bercuti pada hari Jumaat dalam seminggu. Para pelajar kebiasaannya bergilir untuk beriadah di tempat-tempat seperti Istad Gam’ah, Kuliah Tijarah, Kuliah Zira’ah ataupun gelanggang baru di Hospital Syatby. Antara riadah yang menarik adalah futsal, bola keranjang, bola tampar, bola jaring dan sebagainya.

Pada hari-hari kuliah, ramai pelajar akan bersenam di gimnasium pada waktu petang ataupun berlari di kawasan pantai berdekatan rumah masing-masing. Terdapat juga pelajar yang bermain futsal, bola keranjang dan bermain permainan yang lain.

 

Aktiviti perkelahan

Kawasan perkelahan yang terkenal di Iskandariah adalah berdekatan dengan pantai memandangkan Iskandariah merupakan bandar pesisiran Laut Mediterranean.

 

 

 

 

Antara kawasan yang menjadi tumpuan para pelajar untuk berkelah adalah Montazah. Hal ini adalah kerana Montazah merupakan taman pinggir laut yang mempunyai keluasan 155.4 hektar dan di dalamnya tersergam istana Raja Farouk yang memiliki seni bina yang indah dan cantik.

 

Tempat lain yang menjadi pilihan pelajar juga Taman Ma’mourah. Pelajar juga boleh menyewa basikal untuk bersiar-siar di kawasan sekitar Ma’mourah.

 Kelas Pengajian

 

Pengajian kelas agama atau dipanggil Tafaqquh Fiddeen merupakan antara aktiviti mingguan para mahasiswa di Iskandariah. Setiap malam Jumaat, dewan kuliah di Convention Centre akan penuh dengan para mahasiswa yang hadir untuk menuntut ilmu agama, dengan pelbagai tajuk ilmu agama mahu pun kitab didiskusikan oleh pengisi yang mantap.

 Makanan dan Minuman

Antara restoran yang menjadi tumpuan komuniti pelajar sains kesihatan di sini sudah semestinya kedai yang menyajikan hidangan Melayu. MsiaKitchen Kafe MARA yang terletak di bangunan MARA sering menjadi pilihan utama pelajar. Selain itu, restoran LA Alexandria, yang terkenal dengan menu ayam penyet, juga sering dikunjungi pelajar kerana lokasinya yang terletak di kawasan Camp Caesar yang mempunyai taburan penempatan pelajar Melayu yang tinggi.

‘Asir Makkah, sudah tidak asing lagi bagi penggemar jus buah-buahan di Iskandariah. Kedai yang menjual pelbagai jenis jus buah-buahan ini tidak surut dari pada pengunjung. Rugi rasanya sesiapa yang masih belum mencuba jus dari kedai ini.

 

Klinik Alex Dental Team (ALDT)

 

 

 Para pelajar boleh mendapatkan khidmat kesihatan pergigian di Asrama MARA. Alex Dental Team (ALDT) menyediakan khidmat pemeriksaan gigi secara percuma dan rawatan dengan harga yang berpatutan. Klinik ALDT ini beroperasi di bilik khas di Kafe MARA pada setiap hari Jumaat dari pukul 2.30 hingga 7 petang. Antara rawatan yang disediakan termasuklah ‘scaling and polishing’, ‘pit and fissure sealant’, ‘fluoride gel’, pemutihan gigi, amalgam, komposit dan ‘x-ray processing’. Mahasiswa di sini juga boleh menyewa kerusi rawatan gigi sebagai contoh untuk menyiapkan tugasan dan sebagainya. Apa yang menarik ialah rawatan yang ditawarkan akan dilaksanakan oleh mahasiswa sendiri yang bertugas pada hari tersebut. Untuk yuran keahlian pula adalah sebanyak LE45 sahaja.

 

 Komuniti PERUBATAN

 

Majoriti mahasiswa sains kesihatan (perubatan, pergigian dan farmasi) tinggal di sekitar Azarita hingga Ibrahimiyah. Kawasan yang paling padat dengan mahasiswa adalah di sekitar hentian tram Gam’ah dan Camp Caesar. Kawasan lain yang menjadi tumpuan penduduk adalah di sekitar belakang fakulti kejuruteraan kerana berhampiran dengan kawasan yang menjadi tempat pengajian para mahasiswa perubatan pra-klinikal iaitu di Mouassah.

Rata-rata mahasiswa perubatan pra-klinikal lebih gemar berjalan kaki ke kuliah memandangkan kawasan universiti mereka terletak berhampiran dengan kawasan kediaman, berbanding mahasiswa perubatan klinikal, pergigian dan farmasi yang boleh memilih sama ada hendak menaiki tram atau tramco untuk ke kuliah.

 

 

 

Layari Laman Web Universiti Iskandariah:

 

Fakulti Perubatan: http://au.alexu.edu.eg/English/Pages/default.aspx

Fakulti Pergigian: http://au.alexu.edu.eg/English/Pages/default.aspx