PENGANGKUTAN AWAM DI BUMI MESIR

Cairo_Centre

‘Ala Gambi Lau Samah!’

‘Pengalaman adalah guru terbaik’. Barangkali, itulah peribahasa terbaik memerihalkan segala yang perlu diketahui tentang Mesir. Selain daripada kehidupan masyarakat setempat, survival mahasiswa luar negara serta isu-isu berkaitan pengkuliahan dan pembelajaran, sistem pengangkutan dan peta perjalanan setempat juga memerlukan perhatian yang khusus terutamanya bagi pelajar luar negara tidak kira yang baru tiba ataupun yang sudah bertahun-tahun mendiami perlembahan Nil ini. Sistem pengangkutan awam di Mesir pada dasarnya serupa dengan kebanyakan medium pengangkutan yang terdapat di negara Malaysia sendiri. Sebagai contoh, di sini terdapat bas, metro seperti LRT, kereta api dan teksi. Dua lagi pengangkutan awam yang agak berlainan tetapi sangat popular digunakan di sini adalah tremko atau minibus dan tuk-tuk.

Bas merupakan antara pengangkutan awam utama di Kaherah yang digunakan oleh masyarakat tempatan dan pendatang asing. Sekitar tahun 2009 dan 2010, pada awal musim kebanjiran mahasiswa Malaysia bertumpu di Kaherah, bas-bas awam yang disediakan telah dinaiktaraf, daripada bas yang menyediakan tempat duduk untuk empat puluh orang berwarna hijau kepada bas berwarna merah. Meskipun bentuknya dan bilangan tempat duduk ya tetap sama tetapi tambangnya telah meningkat kepada satu junaih daripada lima puluh qirsy. Bermula tahun 2012, bas berwarna biru pula telah mula diperkenalkan. Kini bas berwarna kuning mula mulai kelihatan. Selain daripada peningkatan tambang kepada dua junaih, bas-bas tersebut telah menawarkan kemudahan menuju ke destinasi yang berbeza. Kemudahan ke destinasi-destinasi baru ( yang sebelum ini sukar dituju dengan pengangkutan awam yang murah ) semakin lama semakin meningkat hingga ke hari ini. Selain daripada bas besar, bas yang lebih kecil berwarna hijau turut disediakan dengan cas tambang sekitar dua atau dua setengah junaih. Semua bas telah memaparkan destinasi yang dituju dan perhentian yang dilalui pada cermin hadapan atau cermin sisi bas tersebut. Selain daripada itu setiap bas mempunyai nombor yang khusus yang hanya pergi ke destinasi tertentu sahaja. Dengan mengingati nombor tersebut sudah membolehkan kita untuk mengecam bas yang ingin dinaiki tanpa perlu bertanya lanjut kepada konduktor bas.

Selain daripada bas, tremko atau minibus juga sangat popular di Mesir. Mahasiswa Malaysia lebih gemar menggunakan tremko kerana bilangan penumpangnya lebih sedikit sekitar dua belas orang sahaja dan saiz tremko seperti sebuah van itu menyebabkan pergerakan kenderaan lebih pantas daripada bas. Selain daripada penumpang tidak akan berdiri dan akan pasti mendapat tempat duduk, tremko juga lebih efisien untuk dinaiki secara berkumpulan. Namun begitu, tambangnya semaki hari semakin mahal bergantung kepada destinasi yang dituju dengan kadar sekitar satu junaih hingga tiga junaih. Pemandu tremko biasanya akan meggunakan bahasa isyarat dan menggunakan hon yang kuat untuk mendapatkan penumpang. Amat wajar bagi mahasiswa baru untuk mengetahui bahasa isyarat tempat-tempat di Kaherah ini bagi memudahkan mereka mendapatkan tremko. Tremko biasanya boleh didapati di mana-mana sahaja di sepanjang jalan raya khususnya di kawasan stesen atau mahattoh dalam bahasa pasar.

Penggunaan teksi menjadi semakin meningkat apabila kesesakan jalanraya semakin menjadi-jadi dewasa ini khususnya apabila semakin banyak jalanraya yang ditutup atau sekatan jalanraya dilakukan. Bagi mengelakkan kelewatan ke kuliah, kebanyakan pelajar lebih suka menahan teksi yang akan melalui jalan yang tidak banyak dilalui oleh kenderaan awam yang lain. Selain daripada sangat pantas tiba ke destinasi, perkhidmatan teksi juga sangat efisien dengan penyedian pendingin hawa serta tingkap untuk mengelakkan kepanasan atau debu-debu jalan. Terdapat dua jenis teksi. Yang berwarna putih dan bermeter dan teksi hitam yang tidak bermeter. Teksi hitam selalunya meletakkan harga atas budi bicara antara pemandu dan penumpang. Jika penumpang tidak mahir berbahasa pasar atau mudah dicam sebagai pendatang asing, pemandu selalunya suka meletakkan harga yang mahal atau sewenang-wenang menipu penumpang tersebut.

Metro yang mirip LRT turut disediakan di Kaherah. Dengan tambang hanya satu junaih, masyarakat di sini boleh menuju ke mana-mana destinasi sepanjang laluan metro tersebut tanpa perlu memikirkan kesesakan lalulintas. Namun begitu, disebabkan tambang yang sangat murah, keretapi metro selalu sesak dengan penumpang khususnya apabila menuju ke destinasi yang menjadi tumpuan orang ramai seperti Ramsis dan Atabah. Terdapat tiga laluan metro dan ketiga-tiganya berhubung antara satu sama lain. Antaranya Laluan Metro Helwan-New el-Marg, laluan Metro Giza-Shoubra dan laluan metro Atabah-Mator yang sekarang masih dalam pembinaan. Stesen terakhir yang boleh dilalui sekarang ini adalah stesen metro Ahram. Laluan metro tersebut juga bakal menghubungkan kawasan sekitar zamalek yang menyeberangi sungai Nil dan juga Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah namun mungkin memakan masa yang lama. Antara perhentian yang seringkali menjadi tumpuan para pelajar Malaysia adalah Stesen Demerdash, Ramsis, Sayyeda Zainab, Maadi, Atabah, Abbasiyah, Abdou Basha dan juga Giza.

Bagi kebanyakan pelajar lelaki, penggunaan motosikal semakin meningkat sekitar tahun 2011 sehingga kini. Ramai pelajar lelaki yang memilih untuk membeli motosikal yang berharga antara tiga ribu junaih sehingga sepuluh ribu junaih bergantung kepada jenama motosikal yang dibeli seperti Bajaj, Haojiang, Benelli, Pulsar dan banyak lagi. Perlu diingatkan, ramai pelajar yang tidak mempunyai lesen memandu sama ada setelah memohon dan melalui ujian memandu di sini atau di Malaysia dan menukarkannya kepada lesen antarabangsa tetapi telah membeli dan menaiki motor tersebut. Hal ini dikhutiri menyebabkan penunggang tersebut ditahan oleh pihak penguasa tempatan dan kemungkinan dikenakan tindakan lanjut. Selain lesen memandu, geran pembelian motosikal, passport dan juga beberapa dokumen lain turut perlu sentiasa dibawa bersama setiap kali mengenderai motosikal tersebut. Masyarakt arab memandang golongan wanita yang menunggang motosikal sebagai satu perkara yang mengaibkan. Lantaran itu, wanita di Mesir memang tidak pernah bermotosikal.

Seperti bandaraya yang lain di serata dunia ini, Mesir khususnya Bandar Kaherah tetap penuh dengan berbagai-bagai jenis pengangkutan awam dan boleh sahaja didapati pada bila-bila masa dan di mana sahaja. Anda pasti terkejut apabila anda turun ke jalanraya, perkara pertama yang akan anda dengar adalah bunyi hon sebelum anda melihat kenderaan itu tiba di hadapan mata anda. Setiap kali anda menaiki apa sahaja kenderaan awam, pastikan wang anda sentiasa cukup, keselamatan diri dan barangan sentiasa terjaga, doa menaiki kenderaan sentiasa dibaca dan apabila anda tiba di destinasi yang dituju, jeritlah sekuat hati kepada pemandu, ‘Alal Gambi Lau Samah!’ kerana mungkin radio arab atau kesesakan jalanraya itu lebih kuat daripada suara anda.

 

Oleh: Saeed Zubeir bin Zahari