HOW TO SURVIVE IN EGYPT

tumblr_lzi90xJOVY1qza7hxo1_1280

Cuaca

Cuaca di bumi Mesir sangat panas, jadi kena banyakkan minum air putih supaya tidak dehydrated. Kulit kering, kepala gatal dan kelemumur adalah perkara biasa pada mulanya.

Kehidupan sosial

Pelajar Malaysia di Mesir biasanya tinggal berkelompok di sesebuah kawasan tertentu yang terletak berhampiran universiti. Hanya di beberapa kawasan yang harga rumahnya terlalu mahal menyebabkan pelajar terpaksa mencari kediaman yang lebih murah walaupun terletak agak jauh dari kampus. Pelajar Malaysia kebanyakannya kurang bercampur dengan masyarakat arab melainkan dalam urusan penting seperti di kuliah, berjual-beli dan sewa rumah. Sebab utama yang menyumbang kepada keadaan ini ialah tidak mahir berbahasa Arab dan sikap tidak mahu bercampur. Namun tidak dinafikan ramai juga yang selesa bergaul dengan orang Arab bahkan ada yang berkahwin dengan anak-anak mereka.

Menyebut tentang pelajar Malaysia pasti tidak dapat dipisahkan dari organisasi dan persatuan. Terdapat persatuan PERUBATAN yang berdaftar di bawah Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah / Education Malaysia Egypt (EME). Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK) bertindak sebagai bapa kepada para pelajar di sini dan menguruskan kes-kes yang timbul di kalangan pelajar dengan kerjasama PERUBATAN.

Makanan

Ke mana pergi sekalipun pasti makanan akan menjadi soalan utama. Orang yang belum pernah sampai ke Mesir pasti akan menyangkakan tiada makanan Melayu di sini. Kalau lima puluh tahun dulu mungkin ya, tetapi kini suasana sudah jauh berbeza. Di Kaherah, terdapat ramai anak Melayu Malaysia, Indonesia dan Thailand mengusahakan kedai makanan. Kebanyakannya tertumpu di sekitar kewasan Rumah Negeri di Haiyu Sabi’e, Madinah Nasr. Selain itu makanan Arab sendiri tidaklah begitu aneh dengan selera orang Melayu. Walaupun makanan ruji mereka ialah roti dan keju tetapi ayam panggang dengan nasi, roti kebab dan pelbagai sandwich ayam dan daging ada dijual di sini. Harganya juga tidak jauh beza dengan hidangan di restoran Melayu. Selain itu bahan mentah di sini juga sangat segar walaupun kurang bervariasi dan sesetengahnya agak berbeza. Contohnya beras Mesir yang lebih menyerupai beras pulut kurang digemari penuntut Melayu. Kebiasaan pelajar Malaysia di sini lebih gemar memasak sendiri di rumah dengan mendapatkan bekalan beras asia dari peniaga tertentu untuk menjimatkan kos. Jenis ikan juga tidak sebanyak di Malaysia namun sudah cukup untuk memenuhi keperluan harian.

Rumah Negeri

Tidak seperti pelajar Malaysia di lain-lain negara, Pelajar Malaysia di Mesir menikmati kemudahan Rumah Negeri yang terletak di Kaherah. Setiap negeri di Malaysia mempunyai asrama untuk pelajar tajaan masing-masing yang dipanggil ‘Rumah Negeri’ namun fungsinya tidaklah terhad kepada para pelajar tajaan mereka sahaja. Rumah Negeri biasanya menjadi kampung halaman bagi seluruh pelajar Melayu yang bertebaran di merata Mesir. Pelajar yang menuntut di kampus luar Kaherah biasanya akan pulang berhari raya di Rumah Negeri masing-masing bersama para pegawai negeri dan sahabat handai. Bukan itu sahaja, Rumah Negeri turut menjadi singgahan para tetamu Malaysia yang berkunjung ke Mesir sama ada mereka pelajar Malaysia yang menuntut di UK , ahli keluarga yang datang menziarahi anak-anak, pegawai kerajaan yang mengikuti kursus di Jabatan Mufti Mesir mahupun sekadar pelancong persendirian.

Rumah-Rumah Negeri diusahakan kewujudannya oleh persatuan-persatuan Negeri. Sebelum kewujudan Rumah Negeri, para pelajar Melayu sudah mempunyai sebuah bangunan asrama di Abbasiah. Namun berikutan pertambahan jumlah pelajar yang semakin meningkat, mereka mengambil inisiatif untuk mengumpulkan para pelajar yang bertaburan lalu timbullah idea penubuhan rumah negeri. Pembinaan Rumah Negeri umumnya dibiayai oleh majlis agama negeri masing-masing dengan permohonan dari persatuan pelajar di sini, selain sumbangan ikhlas individu dan lain-lain pihak di Malaysia. Rumah Negeri ditadbir oleh para pelajar sendiri dalam sebuah organisasi yang dipanggil Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN). Namun sejak tahun 90-an pihak majlis agama telah menghantar pegawai masing-masing untuk mentadbir Rumah Negeri dan kini hanya beberapa buah Rumah Negeri sahaja yang tidak ditadbir pegawai seperti Rumah Pulau Pinang dan Rumah Perlis.

Kehidupan di Muhafazah

Penuntut Malaysia di Mesir bukan sahaja tertumpu di Kaherah bahkan bertebaran di banyak muhafazah (wilayah) lain. Kebanyakan mereka ialah pelajar yang mengikuti kursus Pengajian Islam Universiti al-Azhar di kampus luar Kaherah selain pelajar sains kesihatan. Antara muhafazah yang didiami penuntut Malaysia ialah Iskandariah (kampus siswi Al-Azhar dan perubatan Universiti Iskandariah), Mansurah (kampus siswa & siswi Al-Azhar dan perubatan Universiti Mansurah), Tanta (kampus siswa Al-Azhar dan perubatan Universiti Tanta) dan lain-lain. Setiap muhafazah mempunyai keistimewaan yang berbeza antara satu sama lain contohnya muhafazah Iskandariah yang terkenal dengan kecantikan pantai Mediterranean dan muhafazah Mansurah yang terkenal dengan lapangan pertanian yang indah. Kos sara hidup juga sangat berbeza antara setiap muhafazah. Di muhafazah yang agak maju seperti Kaherah dan Iskandariah biasanya perbelanjaan lebih tinggi berbanding muhafazah pertanian seperti Mansurah dan Tanta. Bagaimanapun bagi pelajar pengajian Islam, Kaherah adalah yang paling kaya dengan sumber ilmu pengetahuan memandangkan kota itu sudah dibanjiri para ilmuan sejak ratusan tahun silam. Bukan sahaja Masjid Al-Azhar menjadi tumpuan pelajar menadah ilmu, bahkan terdapat ribuan masjid di Kaherah menawarkan pengajian kitab tradisional dan moden secara percuma dengan bimbingan para ulama’ ‘alimin terkemuka.

Kehidupan sosial di muhafazah juga secara khususnya agak berbeza dari Kaherah. Di muhafazah Iskandariah contohnya, sikap penduduk di sini sedikit lebih lembut dan sopan berbanding penduduk Kaherah. Jarang kedengaran hon kereta bertalu-talu di jalanraya dan kadar kecurian di kediaman dan dalam pengangkutan awam juga lebih rendah. Begitu juga di muhafazah lain yang belum rancak dengan kemajuan, penduduknya lebih tenang dan santai. Di muhafazah biasanya pelajar Malaysia lebih banyak berinteraksi dengan orang awam. Tidak sedikit yang diajak bertamu ke rumah dan berbalas kunjungan sesama mereka. Namun sejak 2010 penghantaran penuntut Pengajian Islam ke muhafazah telah dihentikan dan hanya pelajar sains kesihatan akan berada di muhafazah selepas ini.

Penuntut Melayu dalam sejarah Mesir

Ramai yang tidak tahu, anak-anak Melayu dari Nusantara pernah mendapat pujian yang tinggi dari kerajaan dan rakyat Mesir. Sejarahnya tercatat pada tahun 60-an ketika Mesir terlibat dalam peperangan tiga serangkai antara Negara Arab, Inggeris dan Israel. Dalam peperangan ini anak-anak Melayu telah ikut terjun menyumbang tenaga dalam membantu peperangan, mendermakan darah dan menjahit seragam tentera. Setelah Mesir menang dalam peperangan tersebut Presiden Jamal Abdul Nasir telah menghadiahkan sebidang tanah di Abbasiah untuk pembinaan asrama pelajar Malaysia dan tanah tersebut telah didaftarkan di atas nama kerajaan Malaysia. Mungkin ekoran catatan sejarah tersebut, atau kerana sikap pelajar Malaysia sendiri rakyat Mesir telah menggelar mereka sebagai ‘ahsan naas’. Panggilan ini masih wujud hingga kini walaupun jarang-jarang didengari kerana perubahan corak interaksi penuntut kini berbanding generasi terdahulu.

Menurut sumber di Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK), jumlah rakyat Malaysia di Mesir adalah yang kedua terbesar selepas United Kingdom. Itu belum termasuk bilangan penuntut Indonesia dan Selatan Thailand. Lantaran itu proses menjalani kehidupan di sini tidaklah terlalu sukar kerana wajah Melayu boleh ditemui di mana-mana. Walaupun budaya dan sistem sangat berbeza namun ia bukanlah masalah besar kerana persamaan agama menjadikan negara Mesir amat selesa didiami. Di bandar-bandar besar mungkin sikap penduduknya agak kasar dan ‘terdesak’ oleh persaingan hidup, namun secara umumnya bangsa Arab Mesir sangat ramah dan suka membantu tanpa dipinta.

Kejutan Budaya

Kejutan budaya yang dihadapi dan agak terkejut pada tahun pertama ialah wujudnya satu pemandangan baru bila kita tengok orang berjalan atas meja macam jalan atas lantai, dengar pensyarah maki dengan gelaran binatang. Arab yang baru habis sekolah menengah memang kalah perangai budak sekolah rendah di Malaysia.Walau bagaimanapun,mereka memang baik-baik.Kalau wafidaat (pelajar luar) kena usik,mereka(Arab) marah. Kalau nampak budak Malaysia macam konfius selalu ada yang nak tolong terjemah walaupun cakap macam itik dengan kucing.

 

*Diolah daripada blog pelajar Mesir (mawarhanim.blogspot.com)