PANDUAN KESELAMATAN DAN KESIHATAN MAHASISWA DI MESIR

shuttershock-medical-devices-corp-rep

PANDUAN KESIHATAN

MUSIM PANAS DI MESIR

Untuk makluman, Mesir sedang mengalami musim panas. Oleh itu, anda dinasihatkan untuk menjaga kesihatan diri sebaiknya.

Terdapat beberapa tips penjagaan kesihatan di musim panas , antaranya ialah :

  1. Minum air sebanyak mungkin sekurang-kurangnya lapan gelas atau satu liter sehari bagi mengelakkan masalah dehidrasi atau kehilangan air.
  2. Minum minuman isotonic untuk menggantikan garam yang hilang ketika berpeluh
  3. Berehat dengan kerap
  4. Pakai pakaian yang terang dan longgar.
  5. Hadkan aktiviti anda di luar rumah .
  6. Pakai topi atau payung untuk mengelakkan pancaran haba terus ke badan kita
  7. Pakai losyen untuk mengelakkan kulit kering .

Akhir sekali , sentiasalah berdoa kepada Allah dikurniakan kesihatan yang baik dan dijauhkan penyakit .Kerana sekuat apapun kita berusaha agar tidak sakit, namun apabila Rabb kita menghendaki kita sakit maka tiada daya bagi manusia untuk mengelak.

Sumber : Dr. Zubaidi

Bagaimana cara untuk menghentikan hidung berdarah?

  1. Duduk dan picit hidung anda pada bahagian atas lubang hidung, iaitu di bahagian yang lembut.
  2. Teruskan memicit selama lebih kurang 10 minit.
  3. Bongkok ke hadapan supaya darah menitik keluar daripada hidung anda, bukan masuk ke dalam. Sekiranya darah masuk ke dalam perut, anda akan berasa mual.
  4. Duduk tegak, bukan berbaring agar tekanan darah di dalam hidung anda berkurangan.
  5. Teruskan menekan bahagian atas hidung anda selama 20 minit supaya darah membeku dengan baik.
  6. Anda juga boleh menggunakan pek ais untuk melegakan bahagian itu.

Bagi menghalang pendarahan berlaku semula dalam masa 12 jam berikutnya, elakkan daripada:

  1. Menggerakkan kepala lebih rendah daripada paras jantung anda.
  2. Melakukan kerja-kerja berat.
  3. Menghembus hidung. 

header

Kesimpulannya mengenai kesihatan, jika adik-adik sememangnya menghidap penyakit sejak berada di Malaysia, dinasihatkan untuk membawa ubat-ubatan sendiri atau minta khidmat konsultan daripada doktor di Malaysia berkenaan dengan keadaan adik yang akan menyambung pelajaran di luar negara. Jangan malu untuk meminta bantuan senior berkenaan hal-hal kesihatan.

 

PANDUAN KESELAMATAN

Panduan Umum Keselamatan

  1. Pelajar akhawat diharapkan tidak mengambil langkah berani dengan keluar berseorangan tanpa teman pada waktu siang mahupun malam terutamanya untuk ke destinasi yang agak jauh.
  2. Sekiranya akhawat terpaksa keluar seorang diri, dilarang daripada menggunakan khidmat teksi kerana dikhuatiri perkara tidak diingini berlaku. Anda boleh menggunakan perkhidmatan bas atau tramco dengan syarat, sentiasa berjaga-jaga dan turun sekiranya semua penumpang telah turun. Ini bagi mengelakkan anda berseorangan di dalam kenderaan awam.
  3. Pelajar akhawat tidak dibenarkan keluar tanpa tujuan pada waktu malam kecuali jika mempunyai urusan yang penting sahaja. Ini bagi mengelakkan apa-apa risiko keselamatan kerana jenayah banyak berlaku pada waktu malam dan awal subuh. Sekiranya perlu atau terdesak, pastikan anda keluar dalam kumpulan dan mesti ditemani musyrif. Pelajar ikhwah juga dinasihatkan untuk tidak keluar berseorangan pada waktu gelap.

**Musyrif ialah pelajar ikhwah yang dijadualkan untuk menemani atau menjaga mana-mana akhawat yang perlu keluar pada waktu malam.

  1. Anda semua dinasihatkan supaya tidak membawa wang dalam kuantiti yang banyak dan tidak terlalu mendedahkan barang-barang berharga seperti telefon  bimbit, MP3, kamera dan yang sewaktu dengannya.
  2. Diharapkan semua pelajar dapat menjaga tingkah laku dan tidak terlalu ramah bersama warga arab yang tidak dikenali atau baru dikenali

 

Nombor telefon yang boleh dihubungi jika ada sebarang masalah keselamatan :

  1. Presiden PERUBATAN: Haniz Iqbal bin Hazaidi (+20111 927 3516)
  1. Ketua Jawatankuasa Keselamatan dan Sosial Islam (JAKSI): Mohd Hamdi bin Razali (+20114 244 0714)

GARIS PANDUAN KESELAMATAN BIL. 4 TAHUN 2014
KEPADA WARGANEGARA MALAYSIA DI REPUBLIK ARAB MESIR

1. MAKLUMAT AM

1.1 Garis Panduan Keselamatan Bilangan 4 Tahun 2014 ini dikeluarkan oleh Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK) kepada semua warganegara Malaysia di Mesir bagi menghadapi kemungkinan berlakunya ancaman/ kekacauan/ demonstrasi di Mesir. Garis Panduan ini merupakan susulan kepada beberapa siri garis panduan, nasihat perjalanan, kenyataan akhbar dan makluman yang dikeluarkan sebelum ini sama ada oleh KBMK ataupun Kementerian Luar Negeri Malaysia.

1.2 Situasi keselamatan di Mesir rata-ratanya adalah selamat dan terkawal. Namun, adalah diperhatikan bahawa kejadian pecah rumah, rompak dan samun masih terjadi, termasuk beberapa kes yang berlaku ke atas warga negara Malaysia yang berada di Mesir.

1.3 Terdapat juga serangan kumpulan militan/ pengganas di beberapa kawasan di Mesir, terutamanya di Semenanjung Sinai. Berdasarkan kepada trend semasa, sasaran serangan ialah ke atas ibu pejabat polis/ tentera, mahkamah; individu-individu berpengaruh; termasuk ke atas entiti ekonomi yang lebih mudah diserang (soft targets) seperti sektor pelancongan dan paip gas.

1.4 Serangan bom ke atas dua orang pelancong Korea Selatan di Taba, Semenanjung Sinai pada 16 Februari 2014 yang lalu dan kenyataan kumpulan pengganas Ansar Beit al-Maqdis pada 20 Februari 2014 yang mengancam nyawa warga asing di Mesir perlu diambil berat.

1.5 Masih lagi terdapat ancaman dan serangan bom improvised explosive devices (IEDs) yang digunakan oleh pihak-pihak militan terutama menjelang pilihanraya Presiden yang akan diadakan pada 26-27 Mei 2014.

1.6 Namun demikian, berdasarkan kepada langkah-langkah keselamatan yang telah diambil oleh pihak berkuasa Mesir, keadaan keselamatan di Mesir dilihat telah semakin terkawal.

1.7 Sehubungan itu, larangan pihak Kedutaan untuk melawat beberapa tempat tumpuan yang dikeluarkan di dalam Garis Panduan Keselamatan Bilangan 3 Tahun 2014 bertarikh 22 Februari 2014 kini diangkat semula, kecuali lawatan ke utara semenanjung Sinai yang dilarang sama sekali. Lawatan dan perjalanan ke kawasan pelancongan di selatan semenanjung Sinai seperti Sharm al Sheikh dan Dahab seboleh-bolehnya menggunakan laluan udara atau laut.

1.8 Selain daripada perkara tersebut di atas, pihak Kedutaan juga ingin menasihatkan warga negara Malaysia yang berada di Mesir supaya mengambil langkah berjaga-jaga bagi menangani wabak Middle East Respiratory Syndrome (MERS) dengan mengambil langkah-langkah kebersihan asas (seperti membasuh tangan dengan sabun secara kerap, menutup hidung apabila bersin dan sebagainya).

  1. LANGKAH-LANGKAH KESELAMATAN

2.1. Tidak keluar rumah/ kediaman khususnya selepas solat Jumaat melainkan jika benar-benar perlu.

2.2. Membuat salinan (fotostat atau scan) dokumen-dokumen penting seperti pasport, kad pengenalan Malaysia dan sebagainya.

2.3. Tidak melibatkan diri dalam sebarang jenis perhimpunan atau tunjuk perasaan.

2.4. Menghindari kawasan tumpuan perhimpunan, tunjuk perasaan dan kawasan tumpuan pelancong mahupun warga tempatan, terutamanya pada hari minggu.

2.5. Berhati-hati sekiranya terdapat situasi atau barangan yang mencurigakan (seperti kereta/ motor rosak, kotak, beg, bungkusan dan sebagainya) di tempat-tempat awam.

2.6. Berjalan secara berkumpulan (sekurang-kurangnya tiga orang) terutamanya pada waktu malam.

2.7. Mengelak diri daripada memberi komen, ulasan atau memaparkan simbol mengenai politik Mesir kepada mana-mana individu atau organisasi, termasuk melalui facebook, twitter, blog dan laman media sosial yang lain. Kerajaan Malaysia mengamalkan dasar tidak campur tangan di dalam urusan dan hal ehwal mana-mana negara (non-interference policy).

2.8. Tidak membawa sebarang bahan bacaan mengenai situasi politik di Mesir, termasuk bahan-bahan bacaan yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu.

2.9. Warga Malaysia yang masih menantikan kelulusan visa bekerja/ belajar di Mesir dipohon untuk menghadkan perjalanan mereka.

2.10. Sekiranya masih terdapat perjalanan ke utara semenanjung Sinai yang tidak dapat dielakkan, kerjasama tuan/ puan adalah dipohon untuk memaklumkan butiran mengenai perjalanan berkenaan seperti tarikh perjalanan, senarai nama rombongan, nombor passport dan nombor telefon bimbit masing-masing kepada pihak Kedutaan/ Atase Pendidikan Negeri/ AJK Persatuan Pelajar, agar sebarang bantuan konsular dapat dipanjangkan dengan segera, sekiranya perlu.

2.11. Menggunakan agensi pelancongan Mesir yang bertauliah dan berlesen sahaja.

2.12. Semua warganegara Malaysia yang bercadang untuk melawat dan yang telah berada di Mesir dinasihatkan supaya mendaftar dan sentiasa mengemaskini butiran diri dengan Unit Konsular, Kedutaan Besar Malaysia Kaherah melalui salah satu daripada kaedah berikut:

(i) mengirim emel dengan menyertakan butir-butir peribadi dan alamat perhubungan kepada alamat emel malcairo@kln.gov.my.

(ii) menghubungi Kedutaan Besar Malaysia Kaherah pada waktu pejabat di nombor telefon +202 3761 0013 atau bimbit +2012 7677 1115 (Encik Ahmed el Wassef, Unit Konsular Kedutaan Besar Malaysia Kaherah).

2.13 Bagi pelajar Malaysia yang berada di Mesir, sila daftarkan diri anda di laman web Pejabat Education Malaysia Egypt http://educationmalaysiaegypt.net/ Pejabat Education Malaysia Egypt juga boleh dihubungi di alamat emel educationmalaysiaegypt@yahoo.com dan www.facebook.com/educationmalaysiaegypt.net.

2.14 Kerjasama tuan/ puan juga adalah dipohon untuk mengikuti laman facebook Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah diwww.facebook.com/malcairo bagi mendapatkan nasihat/ panduan keselamatan dari semasa ke semasa.

2.15 Kerjasama tuan/ puan juga adalah dipohon untuk memaklumkan kepada mana-mana pegawai Kedutaan melalui telefon, emel, whatsapp dan sebagainya, termasuk berkongsi pengalaman/ gambar/ pemerhatian tuan/ puan mengenai keadaan semasa sekiranya tuan/ puan secara tidak sengaja berada di lokasi kekacauan/ demonstrasi berkenaan.

Kedutaan Besar Malaysia, Kaherah
4 Mei 2014