ARTIKEL KHAS AHLAN 2018: TUJUAN PERTAMA V.S TUJUAN UTAMA

 

وَمَنْ سَلَكَ طَرِيْقاً يَلْتَمِسُ فِيْهِ عِلْماً سَهَّلَ اللهُ بِهِ طَرِيْقاً إِلَى الْجَنَّةِ

“Barang siapa menempuh suatu jalan untuk mencari ilmu, pasti Allah memudahkan baginya jalan ke syurga.”

[ Hadis Riwayat Muslim ]

Menjadi impian setiap pelajar untuk melanjutkan pelajaran di luar negara. Kini, impian telah menjadi kenyataan apabila bumi para Nabi, bumi padang pasir , bumi Musa dan Firaun akhirnya telah menjadi menara gading yang perlu kita daki. Segala tanggapan yang berbagai pada dahulunya kini telah berubah menjadi pengalaman.  Nikmat dipilih sebagai penuntut ilmu di bumi para Nabi ini perlu disyukuri dan syukur itu perlu dimanifestasikan dengan sebaiknya . Amanah dan harapan yang digalas harus ditunaikan dengan sebaiknya.

 

Imam Syafie berkata:

إنّما العلم علمان: علم الدين وعلم الدنيا، فالعلم الذي للدين هو الفقه، والعلم الذي للدنيا هو الطب

“Sesungguhnya ilmu itu ada dua, iaitu: Ilmu keagamaan dan ilmu keduniaan. Ilmu untuk (manfaat) agama itu ialah ilmu fiqh, manakala ilmu untuk (manfaat) dunia pula ialah perubatan.”

 

Pertama, sentiasa ingat tujuan pertama kita sebagai pelajar di bumi Mesir ini iaitu menuntut ilmu sains kesihatan, ilmu yang membicarakan tentang manusia dan kesihatannya. Umum mengetahui, ilmu sains kesihatan bukanlah satu bidang yang mudah. Bidang yang sukar ini menuntut kepada kesungguhan dan pengorbanan. Niat menuntut ilmu untuk mengeluarkan diri daripada kejahilan perlulah sentiasa diperbaharui agar sentiasa bersemangat dan berdisiplin dalam menuntut ilmu.

 

يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنْكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَات

Maksudnya: “Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat.” (Al-Mujadalah: 11)

 

Kedua, umpamakan perjalanan di bumi Mesir ini sebagai satu persinggahan kerana cabaran sebenar dunia pekerjaan adalah di Malaysia kelak. Berada di satu persinggahan menuntut kita untuk mencukupkan diri dengan segala bekalan supaya mampu menjadi pengamal sains kesihatan yang Rabbani dan kompeten, bukan sahaja mampu merawat penyakit jasmani bahkan mampu merawat rohani pesakit. Antara bekalan yang diperlukan adalah ilmu dan pengalaman. Rugi sekiranya kita berada di bumi gedung ilmu ini tetapi hanya peroleh ilmu sains kesihatan semata. Bermulalah dari tahun pertama pengajian untuk mencari ilmu selain sains kesihatan supaya kelak tidak menyesal dan terkapai-kapai di tahun akhir. Antara pengalaman yang perlu kita tempuhi bagi membekalkan diri dengan baik ialah pengalaman hidup bermasyarakat, pengalaman mendepani situasi yang kritikal serta pengalaman menghadapi segala ragam manusia. Segala pengalaman ini tidak akan dapat diperoleh sekiranya kita hidup bersendirian dan hidup untuk diri sendiri.

 

Selesai membicarakan tujuan pertama kita sebagai seorang mahasiswa sains kesihatan, namun perlulah kita sentiasa menghayati dan merenung apa tujuan utama kita hidup di atas muka bumi ini.

Duduk sebentar dan renung ke dalam diri kita:

 

Mengapa kita diciptakan?

 

Sebelum ini kita lahir ke dunia. Kelak kita akan kembali ke akhirat. Sepanjang perjalanan di antara kedua perhentian tersebut, merupakan ujian untuk kita.

Firman Allah SWT:

الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا ۚوَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ

“Yang menjadikan mati dan hidup, agar Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.” (Al-Mulk: 2)

 

Setiap gerak geri kita akan diperhitungkan dosa dan pahalanya di akhirat kelak. Tidak wujud istilah “nikmat percuma” melainkan mesti dibayar dengan sejumlah harga ketaatan.

Firman Allah SWT:

أَفَحَسِبْتُمْ أَنَّمَا خَلَقْنَاكُمْ عَبَثًا وَأَنَّكُمْ إِلَيْنَا لَا تُرْجَعُونَ

“Maka apakah kamu mengira, bahawa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main (saja) tanpa tujuan, dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?” (Al-Mukminun:115)

 

Persoalan yang tidak dibiarkan tergantung begitu sahaja. Sebaliknya Allah SWT menerangkan secara jelas berkenaan hakikat penciptaan manusia. Antara tujuan manusia diciptakan:-

  • Mengabdikan diri kepada Allah SWT dalam setiap urusan

Firman Allah SWT:

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

“Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku.” (Adz-Dzariyat: 56)

  • Mendaulatkan Islam dan menjalankan pentadbiran berorientasikan Al-Quran

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الأرْضِ خَلِيفَةً قَالُوا أَتَجْعَلُ فِيهَا مَنْ يُفْسِدُ فِيهَا وَيَسْفِكُ الدِّمَاءَ وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ قَالَ إِنِّي أَعْلَمُ مَا لا تَعْلَمُونَ

“Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi”. Mereka berkata: “Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan menyucikan Engkau?” Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.” (Al-Baqarah: 30)

  • Menanggung amanah kepimpinan

إِنَّا عَرَضْنَا الْأَمَانَةَ عَلَى السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَالْجِبَالِ فَأَبَيْنَ أَنْ يَحْمِلْنَهَا وَأَشْفَقْنَ مِنْهَا وَحَمَلَهَا الْإِنْسَانُ ۖإِنَّهُ كَانَ ظَلُومًا جَهُولًا

“Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanat kepada langit, bumi dan gunung-gunung, maka semuanya enggan untuk memikul amanat itu dan mereka khuatir akan mengkhianatinya, dan dipikullah amanat itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat bodoh.” (Al-Ahzab: 72)

 

Perlu kita akui, selaku hamba kita wajib melaksanakan perintah Allah SWT, sekalipun jika tidak dijanjikan ganjaran pahala dan kesenangan. Kerana selaku hamba, apakah lagi tugas kita selain taat? Kita bukan pekerja Allah SWT. Apatah lagi mahu diumpamakan hubungan kita dengan Allah seperti ikatan antara rakyat dan raja.

 

Malangnya kita menyaksikan segolongan masyarakat seringkali menganggap mereka merupakan rakyat Tuhan yang dibenarkan bernegosiasi soal syariat perundangan, ekonomi, politik dan lain-lain urusan mereka. Al-Quran telah menerangkan kepada kita, kriteria manusia yang benar-benar hidup sebagai hamba Allah, ataupun hanya menjadi hamba kepada dunia.Terdapat tiga golongan manusia di dalam dunia ini berdasarkan tujuan hidup mereka :-

 

  • Golongan yang hidup untuk dunia sahaja. Mereka ini golongan yang tidak mengaku adanya hari akhirat

وَقَالُوا مَا هِيَ إِلا حَيَاتُنَا الدُّنْيَا نَمُوتُ وَنَحْيَا وَمَا يُهْلِكُنَا إِلا الدَّهْرُ وَمَا لَهُمْ بِذَلِكَ مِنْ عِلْمٍ إِنْ هُمْ إِلا يَظُنُّونَ

Dan mereka berkata.”Kehidupan ini tidak lain hanyalah kehidupan di dunia saja, kita mati dan kita hidup dan tidak ada yang membinasakan kita selain masa.” dan mereka sekali-kali tidak mempunyai pengetahuan tentang itu, mereka tidak lain hanyalah menduga-duga saja.” (Al-Jatsiyah: 24)

 

  • Golongan yang sesat antara dunia dan akhirat. Golongan ini mengaku adanya hari akhirat, namun tersesat dalam keseronokan dunia sehingga melupakan nasib mereka ketika hari pembalasan.

إِنَّ اللَّهَ يُدْخِلُ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ ۖوَالَّذِينَ كَفَرُوا يَتَمَتَّعُونَ وَيَأْكُلُونَ كَمَا تَأْكُلُ الْأَنْعَامُ وَالنَّارُ مَثْوًى لَهُمْ

Sesungguhnya Allah memasukkan orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai. Dan orang-orang yang kafir itu bersenang-senang (di dunia) dan mereka makan seperti makannya binatang-binatang. Dan neraka adalah tempat tinggal mereka.” (Muhammad: 12)

 

  • Golongan yang menganggap dunia ini adalah ladang tanaman akhirat. Mereka adalah golongan yang benar-benar beriman dan mengetahui hakikat sebenar hidup ini.

وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلا لَعِبٌ وَلَهْوٌ وَلَلدَّارُ الآخِرَةُ خَيْرٌ لِلَّذِينَ يَتَّقُونَ أَفَلا تَعْقِلُونَ

Dan tiadalah kehidupan dunia ini, selain dari main-main dan senda gurau belaka. Dan sungguh kampung akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa. Maka tidakkah kamu memahaminya?” (Al-An’am: 32)

 

Memahami nilai dunia yang terlalu murah jika dibandingkan dengan mahalnya kehidupan akhirat, maka golongan ini melaksanakan tujuan dan matlamat mereka diciptakan Allah. Jadikan dunia ini sebagai satu ladang untuk kita ke akhirat. Tidak perlu lupakan tujuan pertama kita datang ke Mesir dan jangan pula lupa tujuan utama kita sebagai hamba Allah. Jadilah mahasiswa yang hidupnya bukan bermatlamatkan peperiksaan atau duniawi semata namun jadikan segala jalan menuntut ilmu ini sebagai satu wasilah mencapai redhaNya.

 

Nur Fatini binti Azman @ Nasir,

Tahun 5 Perubatan,

Timbalan Presiden PERUBATAN 2018/2019.