KENYATAAN RASMI AHLAN 2018: SELAMAT BERILMU DAN BERAMAL!

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum wbt.

Segala puji buat Tuhan Sekalian Alam. Pencipta segala yang hidup antara langit dan bumi. Selawat dan salam buat junjungan agung, Rasulullah SAW atas kepayahan Baginda menyampaikan Islam, generasi kini mampu menyedut udara iman.

1. Ilmu, Iman Dan Amal

Firman Allah;

يَرۡفَعِ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مِنكُمۡ وَٱلَّذِينَ أُوتُواْ ٱلۡعِلۡمَ دَرَجَـٰتٍ۬‌ۚ

Maksudnya: “….supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang
yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat…” [Surah al-Mujadalah: 11]

Berpandukan ayat diatas, Allah SWT akan memberikan kemuliaan kepada dua golongan manusia. Golongan yang pertama adalah golongan yang beriman dengan sebenar-benar iman kepada Allah SWT. Manakala golongan kedua adalah golongan yang beriman dan berilmu.

Ilmu dan iman adalah dua perkara yang bergandingan. Ulama menyebutkan bahawa kedua-duanya mesti dicambahkan melalui amal. Ibarat pokok yang tidak berbuah, iman tanpa amal adalah iman yang sia-sia. Seperti mana firman Allah dalam surah al-Hujuraat ayat 15:

إِنَّمَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ بِٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ ثُمَّ لَمۡ يَرۡتَابُواْ وَجَـٰهَدُواْ بِأَمۡوَٲلِهِمۡ وَأَنفُسِهِمۡ فِى سَبِيلِٱللَّهِ‌ۚ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلصَّـٰدِقُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka (terus percaya dengan)

tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan imannya).”

2. Ardul Kinanah Bumi Ilmu, Amal dan Perjuangan

Mesir adalah bumi barakah. Bumi yang menempatkan ramai anbiya’ dan ribuan alim ulama mencurahkan ilmu dan pengetahuan kepada seluruh warganya. Tanpa dilupai, Mesir juga adalah bumi yang menyaksikan pelbagai seruan jihad berkumandang. Sebagai contoh, disinilah lahirnya Sultan Saifuddin Qutuz yang melaungkan seruan jihad bagi menentang Tatar yang menjarah tanah umat Islam. Mesir jugalah menjadi pusat laungan kebangkitan Islam setelah jatuhnya Khilafah pada 1924. Nama-nama tokoh seperti Syeikh Muhammad Abduh, Syeikh Rasyid Redha malah Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat perlu diketahui bagi mengingatkan kita berkenaan peranan tanah ini dalam menghidupkan Islam sebagai tatacara hidup muslim yang sebenar.

Maka kehadiran ke Mesir perlulah ditandai dengan matlamat yang lebih besar iaitu bukan semata-mata untuk menuntut ilmu, tetapi juga melaksanakan tanggungjawab muslim yang besar seperti berjemaah(berpersatuan) dan pelaksanaan amar makruf nahi mungkar.

3. PERUBATAN Sebagai Medan Kesatuan

Persatuan Pelajar-pelajar Sains Kesihatan Malaysia-Mesir (PERUBATAN) sejak sekian lama bertindaksebagai medan kesatuan bagi mahasiswa sains kesihatan di bumi Mesir. Sesuai dengan visi PERUBATAN,“PERUBATAN sebagai wadah integrasi dalam melahirkan professional sains kesihatan yang Rabbani dan kompeten”, PERUBATAN juga bermatlamat menghasilkan mahasiswa yang bukan hanya kompeten dalam bidang sains kesihatan tetapi juga mempunyai jiwa Islami bagi menyuluh kehidupan. PERUBATAN kesatuan kita.

Akhir kalam, ahlan wasahlan diucapkan kepada para mahasiswa yang bakal hadir ke bumi bertuah ini. Semoga dengan kehadiran entum dapat mewarnai perjalanan warga Malaysia di Mesir.

#PERUBATANKelasPertama
#MemimpinGelombangISLAH

 

 

 

 

 

 

 

AHMAD SHAHIR BIN AHMAD JALALUDIN

Presiden,

Persatuan Pelajar-pelajar Sains Kesihatan Malaysia-Mesir (PERUBATAN),

Sesi 2018/2019.