FREQUENTLY-ASKED QUESTIONS (FAQs)

 

Berapa banyak universiti di Mesir? Adakah pengajian sains kesihatan di Mesir diiktiraf?

Secara umum, sains kesihatan terbahagi kepada tiga (3) bidang pengajian iaitu Perubatan, Farmasi dan Pergigian yang menjadi tumpuan pelajar Malaysia di negeri-negeri (muhafazah) seluruh Mesir. Terdapat lapan (8) universiti yang menjadi tumpuan iaitu:-

Universiti Kaherah (Muhafazah Kaherah)

Universiti Ain Shams (Muhafazah Kaherah)

Universiti al-Azhar (Muhafazah Kaherah)

Universiti Tanta (Muhafazah Tanta)

Universiti Mansurah (Muhafazah Mansurah)

Universiti Zagazig (Muhafazah Zaqaziq)

Universiti Iskandariah (Muhafazah Iskandariah)

Universiti Assiut (Muhafazah Assiut)

Walaubagaimanapun, tidak kesemua bidang pengajian diiktiraf oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi setiap universiti sebagai contoh; hanya jurusan Pergigian sahaja diiktiraf di Universiti Assiut setakat ini.

Tambahan pula, tidak kesemua bidang pengajian yang diiktiraf di setiap universiti terdapat pelajar Malaysia sebagai contoh; sekian lamanya, pelajar Malaysia hanya tertumpu dalam jurusan Perubatan di Universiti Kaherah.

*Maklumat lanjut pengiktirafan boleh disemak melalui laman web

 

Adakah penting buku-buku rujukan antarabangsa yang perlu saya bawa dari Malaysia?

Penggunaan buku-buku rujukan antarabangsa tidak begitu dititik-beratkan di institusi-institusi pengajian di Mesir. Khususnya bagi tahun-tahun pra-klinikal. Ini kerana skop-skop soalan dan fakta-fakta penting sudah pun dimuatkan dalam buku teks yang disediakan universiti masing-masing.

Untuk menjawab peperiksaan pula, soalan-soalan past years disamping buku soalan MCQ dan buku-buku latihan (juga disediakan oleh universiti) sudah memadai untuk dijadikan rujukan.

Buku rujukan antarabangsa dalam hal ini sangat membantu khususnya bagi subjek-subjek yang melibatkan gambar rajah seperti anatomi.

*Baca lanjut barang cadangan untuk di bawa [klik di sini]

 

Daripada awal lagi saya memang tidak berminat ambil bidang sains kesihatan. Atas desakan dan harapan mak ayah yang buatkan saya masih belum tawar hati. Bagaimanakah saya boleh mengimbangkan dua perkara ini; kewajipan dan kehendak saya?

Pertamanya, anda seharusnya sedar akan prioriti anda, dan sedar akan kewajipan anda. Bila mana anda telah masuk ke bidang ini, teruskan bermujahadah sehingga ke akhirnya. Memang tidak dinafikan akan kehendak anda yang lain. Ramai pelajar-pelajar medik di Mesir ini mempunyai situasi yang serupa. Kerana itu ada yang didapati menghabiskan masa terluang dengan berniaga, berjalan-jalan ataupun membaca buku-buku yang tiada kaitan dengan pengajian. Semua ini tidak salah selagi mana anda faham kewajipan utama anda di sini. Cuba untuk berbincang dengan ibu bapa jika anda sememangnya tidak berminat ataupun tidak mampu untuk meneruskan dalam bidang sains kesihatan.

 

Orang cakap sebagai pelajar sains kesihatan ini sibuk? Tapi saya tengok pelajar-pelajar Mesir banyak sahaja masa kosong.

Kelebihan belajar medik di Mesir adalah sistem pengajian di sini yang mengamalkan sistem konvensional. Walaupun ada yang mendakwa mereka menggunakan sistem yang lebih moden, tetapi secara asasnya beberapa ciri-ciri utama sistem konvensional tetap akan kekal. Khususnya kaedah pemarkahan yang mengutamakan pencapaian cemerlang bagi peperiksaan akhir tahun. Hal ini menyebabkan pelajar-pelajar medik di Mesir rajinnya bermusim.

Isu ini boleh dipandang dari dua sudut. Satu, pelajar medik di sini tidak bersungguh. Atau cara kedua, pelajar medik di sini mempunyai masa yang lebih untuk mengutip input-input tambahan. Cuma pastikan masa yang terluang itu diisi dengan perkara-perkara yang berfaedah seperti berpersatuan, pengajian kitab secara bertalaqi, pengambilan sanad al-Quran, dan banyak lagi.

 

Saya berminat untuk mendalami ilmu bahasa Arab. Dari mana harus saya bermula?

Pelajar-pelajar yang menuntut pengajian di Mesir mempunyai kelebihan untuk mendalami bahasa Arab di sini. Di Mesir suasana yang menggalakkan penggunaan Arab sudah tersedia, apa yang tinggal hanyalah kemahuan.

Antara dilema yang sering dihadapi adalah antara ‘ammiah dan fushah. Kedua-duanya sebenarnya perlu dikuasai dengan baik. Tetapi cara penguasaannya adalah berlainan. Untuk ‘ammiah pertuturan bersama warga tempatan perlu diperbanyakkan. Adapun fushah, penguasaan ilmu-ilmu alat lebih harus dititikberatkan.

Walaubagaimanapun sukar untuk memahami bahasa Arab, baik ‘ammiah mahupun fushah terutama kepada individu yang tiada asas pengajian arab, kalian usah bimbang. Ilmu Allah itu luas dan akan dipermudahkan kepada sesiapa yang mahu. Di Mesir, banyak tempat dan keadaan yang bakal membantu anda. Apa yang penting adalah kemahuan diri yang tinggi untuk menguasai bahasa Arab.

*Jom belajar ‘ammiyah [klik di sini]

 

Betulkah Arab ini tak boleh dipercayai? Macam mana nak kenal Arab yang boleh dipercayai?

Orang-orang Arab yang ditemui di dalam universiti dan institusi pendidikan ataupun kelas-kelas pengajian talaqi, ataupun yang sering melazimi masjid lebih selamat untuk dipercayai berbanding yang lain. Tetapi itu tidak bermakna kita boleh bersifat cuai apabila berurusan dengan mereka. Barang-barang peribadi yang penting seperti telefon bimbit, passport, dompet dan sebagainya perlu sentiasa dipantau.

 

Saya bimbang untuk bawa duit yang banyak ke Mesir, adakah berguna kad Bank Malaysia di Mesir?

Masa awal-awal keberadaan di Mesir, adalah sangat penting untuk mempunyai kad bank yang aktif. Ini kerana, wang yang bakal digunakan agak banyak untuk membeli buku, kelengkapan bilik seperti almari pakaian, peralatan rumah dan lain-lain.

Selalunya, kebanyakan pelajar akan buka akaun HSBC (akaun bersama). Akaun bersama ini akan memberi dua kad kepada kita, satu untuk pelajar dan satu lagi untuk parents pegang. Selepas akaun dibuka, pastikan kad itu diaktifkan terlebih dahulu (withdraw dan deposit kan dulu duit dalam akaun bagi kedua-dua kad) supaya secara pastinya kad tersebut boleh diproses untuk kegunaan di sini kelak.

Kalau hendak bawa kad bank CIMB/Maybank/ BSN, pastikan fungsi VISA tu telah diaktifkan. Anda boleh withdraw wang di sini di mana-mana mesin ATM yang berfungsi dengan dikenakan sedikit caj. Makluman terkini daripada pihak HSBC, kad debit HSBC perlu diaktifkan untuk penggunaan luar negara.

Sebagai langkah awal, boleh juga untuk membawa sejumlah wang dolar Amerika untuk ditukarkan kepada nilai mata wang Mesir. Di sini terdapat banyak perkhidmatan pertukaran wang dipanggil Sorofah.

 

Bagaimana dengan kos sara hidup di Mesir?

Secara purata, kos sara hidup pelajar Malaysia di sini adalah sekitar RM500 sebulan, namun bergantung kepada cara hidup pelajar itu sendiri merangkumi kos sewa rumah, makan minum, bil-bil semasa dan lain-lain.

*Baca lanjut [klik di sini]

 

Bagaimana dengan penempatan pelajar Malaysia di Mesir?

Kebanyakan pelajar di sini akan menyewa rumah sewa berdekatan dengan universiti masing-masing sekaligus mewujudkan komuniti pelajar di kawasan penempatan masing-masing. Harga sewa rumah bergantung kepada muhafazah yang terlibat. Terdapat juga kerajaan-kerajaan negeri yang telah lama menyediakan asrama bagi pelajar masing-masing dengan harga sewa yang murah terutamanya bagi kawasan sekitar ibu Negara Mesir, Kaherah.

*Baca lanjut harga rumah [klik di sini]

 

Dimanakah boleh saya cari barang-barang keperluan rumah dan apakah lingkungan harga yang berpatutan?

Setiap muhafazah terdapat pasar-pasar tertentu untuk membeli barang-barang keperluan rumah. Biasanya pelajar baru akan dibantu oleh senior-senior untuk dapatkan barang-barang tersebut. Jangan bimbang. Syari3 Abdul Aziz di Atabah (Kaherah) dan kawasan sekitar selalunya sering menjadi pilihan. Pastikan anda berunding harga dengan sebaik-baiknya.

Anda juga boleh memperolehi barangan kelengkapan rumah daripada senior-senior tahun akhir yang akan pulang ke Malaysia sekitar bulan Januari hingga Mac dengan harga yang lebih murah. Anda mungkin boleh join grup Facebook ; Pasar Mesir, Pasar Abbasiyah dan lain-lain nama grup mengikut muhafazah.

 

Saya pemalu, tidak pandai berkomunikasi dengan orang Arab. Apa yang harus saya lakukan?

Pengalaman berurusan dengan masyarakat setempat bakal menjadikan kita manusia yang lebih baik dan lebih bersyukur. Anda harus bermula dengan mendekatkan diri dengan mereka-mereka sekeliling anda; imam masjid, pemilik kedai runcit di kediaman anda, penjual ayam yang anda selalu beli ayam di kedainya dan juga kenalan-kenalan Arab di tempat pengajian. Sekurang-kurangnya pelajar Arab ini mampu memahami bahasa Inggeris apabila anda kekok untuk berbahasa Arab dengan mereka.

Pada masa yang sama, anda juga boleh meningkatkan pengetahuan anda tentang budaya Mesir dengan menonton filem-filem Arab. Selalukan mendengar siaran-siaran radio Mesir. Cara ini juga merupakan kaedah yang berkesan untuk kita memahami bahasa mereka. Orang cakap, tak kenal maka tak cinta. Ayuh! Mulakan dengan kemahuan dalam diri anda.

 

Mudahkah untuk mendapatkan pengangkutan di Mesir?

Memandangkan kebanyakan pelajar di sini tinggal berdekatan dengan universiti masing-masing, berjalan kaki adalah pilihan yang sangat kondusif. Anda juga boleh menaiki pengangkutan awam dengan sangat mudah dan murah di sini seperti teksi, microbus(tremco), bas dan keretapi(metro).

*Kenali pengangkutan awam di Mesir [klik di sini]

 

Apakah cara perhubungan komunikasi di Mesir?

Di Mesir, terdapat tiga telco utama, iaitu Etisalat, Mobinil dan juga Vodafone. Kebiasaannya, pelajar di sini menggunakan Etisalat sebab murah ( call Etisalat ke Etisalat 15 sen (qirsh), mesej Etisalat ke Etisalat 30 sen) Ya, di Mesir call lebih murah berbanding sms. Cara hendak membeli kad SIM adalah dengan pergi ke cawangan Etisalat yang berhampiran. Jangan lupa bawa passport untuk pendaftaran SIM.

Untuk internet pula, ada beberapa pilihan:

  1. Pergi online dekat cyber café.
  2. Tarik cable internet dari cyber café
  3. Kalau rumah mempunyai line telefon, boleh pasang wifi.
  4. Online guna handphone-telco (mengikut pakej-pakej yang tersedia)
  5. Guna usb broadband. Tapi mahal ( lebih kurang LE 149 sebulan untuk 6GB)

 

Media melaporkan keadaan di Mesir agak huru-hara akibat konflik yang telah berlaku, adakah saya akan selamat berada di sana?

Memang tidak dapat dinafikan bahawa konflik berlaku telah mengeruhkan sedikit keselamatan pelajar-pelajar Malaysia. Walaubagaimanapun, pihak yang berwajib seperti Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK) dan Education Malaysia Egypt (EME) sentiasa memantau keselamatan rakyat Malaysia terutamanya para pelajar dengan dibantu oleh persatuan-persatuan pelajar di sini. In sha Allah, keselamatan anda di sini akan terjamin sekiranya anda menuruti pekeliling keselamatan yang telah digariskan.

*Baca lanjut [klik di sini]

 

Adakah mudah untuk mendapatkan makanan mengikut selera rakyat Malaysia di sana?

Untuk makluman, makanan-makanan utama di sini kebanyakannya berasaskan roti, bijirin dan kekacang. Agak sukar untuk mendapatkan makanan berasaskan nasi. Namun, makanan-makanan di sini kebanyakannya masih mampu mengikut selera lidah rakyat Malaysia. Terdapat juga restoran-restoran nusantara yang tumbuh bagaikan cendawan di penempatan rakyat Malaysia.

Franchise-franchise antarabangsa seperti Pizza Hut, KFC, Costa Coffee dan lain-lain juga boleh didapati disekitar Kaherah dan mall-mall. Selain itu terdapat juga restoran-restoran Yaman yang menyediakan nasi mendy, kabsah, biryani dan pelbagai lagi menu yang menyelerakan.

 

Bagaimanakah keadaan cuaca di Mesir?

Musim di Mesir terbahagi kepada empat musim; Sejuk, Bunga, Panas dan Luruh. Musim yang paling ketara adalah musim sejuk (min 5°C ) pada November hingga Januari dan musim panas (max 40°C) pada Mei hingga Julai.

Pastikan anda bersedia mental dan fizikal terhadap cuaca di Mesir yang sememangnya berbeza berbanding Malaysia.

 

Apakah aktiviti-aktiviti lazim bagi pelajar Malaysia di Mesir pada musim cuti?

Majoriti universiti di Mesir memperuntukkan cuti panjang pada musim sejuk dan musim panas. Banyak aktiviti-aktiviti yang dapat dilakukan pada musim cuti tersebut yang dikendalikan secara individu atau kumpulan (persatuan). Melancong, bersukan, dan banyak lagi

Dari segi geografi, Mesir sangat dekat dengan negara-negara Timur Tengah dan Eropah yang lain. Justeru peluang untuk mengunjungi Baitul Haram, Kaabah dan bumi-bumi anbiyaa’ yang lain serta negara-negara Eropah lebih terbuka dan murah. Di dalam Mesir sendiri juga terdapat tempat-tempat percutian terkenal seperti Sharm el-Sheikh, Dahab, Hurghada, Ain Sukhna, dan lain-lain

Tidak dilupakan di dalam cuti musim panas, terdapat juga daurah kitab dijalankan oleh persatuan pelajar dan institusi pengajian di sini. Pada bulan Ramadhan, peluang untuk berpuasa di Mesir seharusnya tidak dilepaskan. Qiam di masjid-masjid yang berlainan, dan berbuka puasa dengan warga tempatan di ‘Maidah Rahman’ perlu direbut.

Waktu cuti juga boleh dimanfaatkan dengan menghadiri kelas-kelas agama, serta mendalami pengajian bahasa Arab.

*Baca lanjut tempat menarik di Mesir [klik di sini]