KALAM PRESIDEN AHLAN 2015

Assalamu’alaikum, bersyukur kita kepada Allah SWT Tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan mulia Rasulullah SAW dan para sahabat yang membantu perjuangan baginda.

Dalam surah al-Fajr, menurut tafsiran Syeikh Sya’rawi, terdapat 4 perkara yang membuatkan hati manusia bahagia. Tiga daripadanya ialah; yang pertama: Solat Subuh yakni satu amalan meninggalkan kesenangan dunia sewaktu tidur untuk beribadah kerana Allah Taala. Kedua, memanfaatkan 10 hari terakhir Ramadan dan 10 hari terawal Zulhijjah. Ketiga, menghabiskan malam mereka untuk beribadah. Berdasarkan ketiga-tiga amalan di atas terbuktilah bahawa Allah Taala sangat menyayangi kita dengan membekalkan garis panduan untuk kebahagiaan kita bersama.

Dalam kebanyakan hadis, Nabi menyifatkan dunia ialah tempat persinggahan sementara manakala akhirat ialah destinasi kekal buat manusia. Dunia dikisahkan dalam al-Quran merupakan satu ujian buat seluruh manusia sama ada muslim mahupun bukan muslim. Akan datang saat susah yang benar-benar menyesakkan dada manusia. Kesukaran ini datang dalam bentuk kesempitan hidup dari segi kewangan, masalah bersama sahabat sekeliling, masalah dalaman dalam hubungan kekeluargaan, buat yang berkahwin barangkali menghadapi masalah dengan keluarga dan anak-anak dan tidak dilupakan kegagalan mencapai matlamat peribadi dalam kehidupan. Akan datang jua, saat senang seperti mendapat kenaikan elaun bulanan ataupun tajaan, mendapat rumah yang cantik dan besar, didampingi oleh sahabat-sahabat yang baik, dan tidak dilupakan, pastinya buat seorang pelajar, mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Semua ini tidak lain tidak bukan adalah untuk menguji sifat ‘ihsan’ dalam diri manusia.

Allah Taala yang merupakan rabb yakni penguasa dan pemilik diri kita. Sekiranya sebuah kedai runcit yang menjual keperluan-keperluan asas seperti tepung, telur, gula, garam dan lain-lain pasti ada pemiliknya yang menjaga kedai tersebut. Pemiliknya akan menjaga bilangan stok, kualiti produk yang dijual, harga barang dan pelayan pelanggan. Pemilik ini akan menjaga sehabis baik kedai runcit dan segala isi barang di dalamnya dan dia berkuasa untuk melakukan apa sahaja terhadap barang di dalam kedai tersebut seperti menaikkan harga barang, mengalihkan kedudukan dan lain-lain. Begitulah diri kita sebagai hamba, Allah mempunyai kuasa untuk melaksanakan apa sahaja terhadap diri kita. Ingatlah teman bahawa segala yang Allah takdirkan untuk kita, itulah yang terbaik sekali buat diri kita.

Selamat datang kepada adik-adik saya ucapkan. Kembara kalian ke alam baharu sudah pun bermula. Alam pembelajaran di menara gading merupakan salah satu daripada tempat persinggahan untuk suatu perjalanan hidup yang panjang. Tempat persinggahan ini tidak kekal selamanya, tempoh pembelajaran selama 5 atau 6 tahun setengah akan tamat jua satu hari nanti. Kalian sedang memegang pena untuk menulis perenggan baharu dalam kamus kehidupan, baik atau buruk terletak di tangan kalian.

Sudah menjadi lumrah buat seorang perantau, perlunya panduan daripada orang yang terlebih dahulu melalui jalan yang kalian bakal tempuhi. Manfaatkanlah keberadaan kalian dalam sebuah komuniti untuk sering bertanya dan merujuk kepada abang-abang atau kakak-kakak senior. Insya-Allah saya jamin, mereka sentiasa bersedia untuk membantu kalian dengan tangan yang terbuka. Segala perkara bermula dari sudut perumahan, kesihatan, akademik sehinggalah ke peristiwa pahit manis sepanjang mereka berada di sini patut kalian selami daripada mereka. Pastinya terdapat pelbagai pedoman dan pengajaran yang boleh diambil.

Gunakanlah masa lapang kalian untuk menelaah pelajaran dan bersedia sehabis baik dalam bidang akademik sebagai bekalan untuk menjadi seorang doktor gigi, ahli farmasi dan juga doktor di masa hadapan. Dalam masa yang sama, janganlah segan silu untuk turun bergaul bersama masyarakat dan saling tolong-menolong dalam komuniti PERUBATAN, insya-Allah kalian akan mendapat pelbagai manfaat dan pengetahuan selain dari belajar ilmu pergigian, farmasi dan perubatan. Bersama dalam komuniti juga merupakan salah satu wasilah untuk kalian meraih kejayaan kerana manusia itu sifatnya saling memerlukan antara satu sama lain dan tidak boleh berseorangan. Seperti mana dalam hadis nabi:

“Sesungguhnya syaitan itu adalah serigala kepada manusia, samalah seperti serigala kepada kambing, ia akan memakan kambing yang jauh terpencil daripada kumpulannya, maka berhati-hatilah kamu dan hendaklah kamu sentiasa bersama-sama dengan jemaah dan orang ramai”. (Hadis Riwayat Ahmad)

PERUBATAN bervisikan PERUBATAN sebagai wadah integrasi dalam membentuk professional sains kesihatan yang rabbani dan kompeten. Empat misi turut digezetkan yakni akademik, pembangunan insan, profesionalisme dan kesatuan. Visi dan misi ini merupakan panduan buat seluruh ahli PERUBATAN dalam menjalani kehidupan di Mesir ini.

Sekian, selamat melayari kehidupan baharu di Bumi Kinanah. Siiru ‘Ala barakatillah.

 

 

“Kita Keluarga PERUBATAN”

“Ilmuwan Berbakti, Teguh Sehati”

“at-Taqwa, as –Syifa’, ar-Rahmah”

 

IMG_8322

HANIZ IQBAL BIN HAZAIDI

Presiden PERUBATAN 2015/2016