HOW TO SURVIVE IN EGYPT

Jika anda terdampar di tengah-tengah lautan, ataupun tersesat di tengah-tengah hutan, anda akan memikirkan dan berusaha pelbagai  cara untuk teruskan hidup dalam keadaan sedemikian.

Begitu juga jika anda berada di Mesir yang dikenali sebagai negara yang cukup terkenal dengan tinggalan sejarah, ditambah pula kurang memahami bahasa mereka, jadi apa yang perlu anda lakukan untuk meneruskan ‘survivality’ lebih-lebih lagi sebagai seorang mahasiswa baharu di Mesir?

Bak kata orang lama, “If You can survive in Egypt, You can survive anywhere!”. Begitu dahsyat sekali cabaran dan dugaan yang dihadapi oleh rakyat Malaysia di bumi Mesir ini. Jadi jom kita sama-sama membaca tips-tips untuk terus ‘survive’ di Mesir.

  1. KOMUNIKASI

 Perbualan harian masyarakat Mesir menggunakan Bahasa Arab Ammiyah (bahasa pasar). Majoriti masyarakat tempatan tidak mahir bercakap menggunakan Arab Fushah (baku) dan Bahasa Inggeris kecuali mereka yang mempunyai latar pendidikan yang tinggi seperti pensyarah, doktor, jurutera dan lain-lain. Bak kata pepatah arab:

من تعلم لغة قوم أمن مكرمهم

“Barangsiapa menguasai bahasa suatu kaum, maka ia selamat dari tipu daya mereka.”

Jadi sebagai seorang pelajar baharu, penguasaan bahasa Arab pasar sangat penting ketika mana anda ingin berkomunikasi dengan warga Arab lebih-lebih lagi ketika ingin berjual beli, menaiki pengangutan awam dan lain-lain.

2. VISA

Di Mesir, sebagai seorang pelajar kita mestilah mempunyai visa pelajar. Cara untuk mendapatkan visa ini  anda boleh merujuk blog AHLAN PERUBATAN atau bertanya kepada senior-senior yang lebih arif.

Visa yang didapati daripada Kedutaan Mesir di Malaysia itu hanyalah bersifat sementara iaitu 3 bulan tempoh sahnya sahaja. Jadi apabila kita mula belajar di Mesir, kita mestilah mendapatkan visa pelajar bukan lagi visa pelancong.

Tanpa visa anda juga mungkin akan didenda beribu-ribu genih (LE) di lapangan terbang ketika ingin meninggalkan negara Mesir ini.  Sebaiknya anda mengambil berat akan masalah visa ini supaya dapat mengelakkan masalah yang tidak diingini berlaku.

 

3. RUMAH

Isu rumah merupakan masalah yang selalu timbul saban tahun. Sama ada ditipu oleh warga arab atau pelajar menyewa rumah yang mahal tanpa melihat harga pasaran semasa rumah di kawasan tersebut.

Ditipu oleh warga Arab seperti:

  1. Kenaikan harga sewa setiap tahun.

Sebagai contoh: Sewa tahun lepas LE 2000 sebulan tetapi tahun ini LE 4000 sebulan.

  1. Bayaran bil bulanan yang terlampau mahal hingga mencecah ribuan genih (LE).

Kebiasaannya purata bil eletrik dan air hanya sekitar ratusan genih (LE) per bulan sahaja.

  1. Tuan rumah atau penjaga rumah sentiasa meminta wang lebih setiap bulan dengan pelbagai alasan yang tidak masuk akal.

 

Serta pelbagai lagi masalah yang berlaku kepada warga Malaysia dek kerana karenah yang dilakukan oleh warga Arab dalam ‘menambah’ sumber kewangan mereka.

Tindakan yang lebih baik sebelum anda menyewa mana-mana rumah di Mesir ini adalah dengan cara:

  1. Membuat bancian (survey) terlebih dahulu harga sewa rumah sekitar sebelum memilih mana-mana rumah untuk didiami.
  2. Merujuk mana-mana senior untuk bermuamalah atau membantu dalam urusan jual beli dengan tuan rumah.
  3. Menyewa rumah dengan harga berpatutan sesuai dengan keadaan semasa.

Jika anda terus memilih rumah yang mahal tanpa mengambil tahu harga rumah sekeliling, dibimbangi akan memberi kesan kepada masyarakat setempat. Apabila warga Arab mengetahui bahawa orang Malaysia mampu menyewa rumah yang mahal, kebiasaannya sewa rumah di kawasan sekitar juga akan meningkat.

4. KESIHATAN

Masalah kesihatan dalam kalangan masyarakat Malaysia di Mesir ini antara perkara yang perlu diberi perhatian. Ini kerana banyak faktor yang boleh menjejaskan kesihatan anda ketika berada di Mesir ini, terutama dalam soal kebersihan.

Antara penyakit yang selalu dialami oleh mahasiswa disini adalah Hepatitis, Gastroenteritis, Diarrhea dan lain-lain . Penyakit yang sering dihidapi oleh mahasiswa dek kerana persekitaran yang tidak bersih. Antara solusi yang terbaik adalah anda memasak sendiri di rumah berbanding makan di luar, kerana masak sendiri lebih diyakini kebersihannnya.

Insya Allah, jika anda mengambil berat akan soal kesihatan di Mesir ini, ia akan lebih membantu anda dalam pembelajaran.

5. DUIT

Buat masa ini, kadar tukaran matawang RM kepada EGP (Egyption Pound atau lebih dikenali dengan ‘genih’) bersamaan RM1 = EGP 4.00, bergantung kepada ekonomi semasa dunia.

Dengan keadaan ekonomi Mesir yang merudum, pelajar Malaysia di Mesir lebih mudah menjadi mangsa rompakan, penipuan, kecurian dan sebagainya.

Jadi elakkan membawa duit yang banyak ketika berada di luar rumah. Bawa hanya sekadar untuk keperluan sahaja. Elakkan juga daripada menayang telefon bimbit anda di khalayak ramai. Ini kerana ingin menjaga keselamatan anda daripada mangsa kecurian, ragut dan sebagainya.

Jaga keselamatan anda dengan sebaiknya.

 

6. BANYAKKAN BERTANYA

 

فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِنْ كُنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

“Maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui” (Surah An-Nahl : 43)

Yang terakhir, banyakkan bertanya dan merujuk senior-senior jika anda tidak tahu akan sesuatu perkara. Jangan rasa malu untuk bertanya, bak kata pepatah “Malu bertanya sesat jalan”.

Selain bertanya tentang akademik, anda juga boleh bertanya tentang kehidupan di Mesir, masalah agama dan sebagainya.

Apa yang penting adalah hidup secara bermasyarakat. Jangan sisihkan diri anda daripada orang ramai. Libatkan diri dengan persatuan, belajar cara berkomunikasi dengan masyarakat awam. Berkenalan dengan masyarakat Malaysia dari pelbagai bidang sama ada sains kesihatan mahupun pengajian Islam.

Di Mesir terdapat Persatuan Pelajar-pelajar Sains Kesihatan Malaysia-Mesir (PERUBATAN) yang merupakan persatuan induk khusus untuk pelajar perubatan, pergigian dan farmasi. Boleh sama-sama libatkan diri dalam PERUBATAN disamping dapat mengasah softskill anda.

Sebagai seorang doktor keluaran Mesir, sama ada dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi,  kita bukan sahaja ingin merawat penyakit bahkan juga merawat hati dan iman pesakit. Belajar bukan untuk kebaikan diri sendiri sahaja tetapi untuk kebaikan ummah juga, kerana itulah added value (nilai tambah) bagi graduan sains kesihatan lepasan Mesir.

 

الْعِلْمُ بِلَا عَمَلٍ كَالشَّجَرِ بِلَا ثَمَرٍ

“Ilmu tanpa amal umpama pohon tak berbuah.”

Moga-moga dengan perkongsian ini dapat membantu anda serba sedikit dalam menjalani kehidupan sepanjang bergelar mahasiswa di Mesir ini.

 

Muhammad Irfan Bin Tajol Arifin

Tahun 5, Universiti al-Azhar