[Cerpen: Permata Di Padang Pasir]

“Leya, nak minta jadi fasilitator boleh tak? Alang-alang tu, boleh kenal dengan adik-adik sekali.”

Permintaan si akak pagi itu terasa berat untuk kutolak walaupun majlis akan bermula dalam masa sejam sahaja lagi. Sudah pasti aku perlu hadir ke majlis awal hari ini untuk membuat persediaan.

“Okay, akak. Insya-Allah boleh. Jumpa nanti, ya.” Aku cuba menarik nafas sedalam-dalamnya. Aku sememangnya agak kelam-kabut apabila perlu bercakap di hadapan orang ramai walaupun kuantiti tidaklah seramai mana.

Sesampainya ke majlis, aku terus mendapatkan sahabat fasilitator yang lain untuk mendapatkan penerangan berkaitan aktiviti yang akan dilakukan bersama adik-adik. Pada masa yang sama, mataku tidak lepas memandang kelibat adik-adik yang datang. Ramainya. Aku mula bertukar rasa. Serba tidak kena dibuatnya.

“Tenanglah, wahai diri.” Aku cuba memujuk hati.

Akhirnya, waktu yang dinantikan telah kunjung tiba. Walaupun mindaku tidak berapa bersedia, namun hatiku kali ini tidak bergerak seiring. Kelihatannya, hatiku ini lebih teruja untuk bertemu mata ke mata dengan adik-adik.

“Terima kasih, Leya. Walaupun akak minta last minute, Leya masih sudi memenuhi permintaan akak.” Aku hanya mampu tersenyum girang. Ternyata, keputusanku untuk menerima permintaan si akak tidak mengecewakan. Bukan sahaja membina pengalaman untuk lebih berani berdepan orang ramai, bahkan dapat mengeratkan tali perkenalan bersama adik-adik. Walaupun sememangnya diakui, aku akan tidak berhenti bercakap apabila sudah rapat bersama seseorang.

 

………………………………………………………………………………………………………………………………………………..

 

“Leya, jom. Adik-adik dah sampai ni.” Panggilan Asma mengetuk gegendang telingaku. Tersentak aku seketika. Terlalu jauh aku menggali kotak memori. Sudah dua tahun berlalu dan kali ini merupakan tahun ketiga aku terlibat bersama-sama dalam program sambutan adik-adik baru. Saban tahun menyambut kedatangan adik-adik mengingatkan aku kembali kepada kedatangan pertama kali aku ke bumi Anbiya’ ini.

Pilihan untuk datang ke sini sememangnya sepenuhnya pilihan aku. Bukan bermakna ibu bapa aku tidak menyokong, cuma mereka memberikan beberapa pertimbangan yang boleh difikirkan semula. Namun, aku sendiri nekad dan aku sendiri tidak tahu dari mana datangnya kesungguhanku walaupun aku sebenarnya susah untuk membuat keputusan sendiri. Berkat solat istikharah dan istiharah agaknya.

Setelah aku sampai di sini, ternyata aku terus memahami kesungguhanku ini. Bumi Anbiya’ yang terlalu jauh sifatnya berbanding tanah air tercinta, Malaysia. Bumi yang mengajarku erti kesabaran, ketabahan dan semestinya pengalaman yang membuahkan pelbagai rasa.

Terlalu banyak perkara kebaikan yang disajikan di sini. Kelas pengajian yang tidak putus antara keistimewaan yang ada. Sehingga aku merasa rambang mata untuk membuat pilihan. Bukan sahaja tertumpu kepada kelas pengajian agama, ditambah pula dengan kelas kemahiran yang bertujuan untuk memanggil bakat terpendam dalam diri. Setakat nak pasang lampu, perempuan pun boleh. Dan, berkat tunjuk ajar senior yang ada di sini, aku dapat membuat pilihan sesuai dengan tahap aku. Alasan sahaja yang mampu menutup keinginan untuk belajar.

Tidak dapat dilupakan juga, aku kelihatannya telah jatuh cinta dengan aktiviti kemasyarakatan di sini. Jika di zaman persekolahan, dilantik sebagai Timbalan Pengerusi sesuatu persatuan apalah sangat yang dapat dibuat. Alih-alih, cikgu juga yang akan datang menolong. Manja sungguh aku rasakan ketika itu. Asyik disuap sahaja.

Di sini, semuanya bergerak dengan kerjasama ahli. Mencari dana, membuat kertas kerja program kini tidak lagi asing buat diriku. Segala jerih payah yang dirasakan terlalu berharga. Meski air mata turut menyumbang sepanjang keterlibatan aku, kebahagiaan yang diperoleh itu ibarat dos ubat yang mampu menenangkan kembali emosi. Seperti roller coaster sahaja perasaan aku ketika itu.

Ya, tidak dinafikan aku juga cemburu melihat rakan-rakan yang bersenang-lenang di rumah tanpa risau memikirkan tanggungjawab yang masih tertangguh. Mereka boleh berehat setelah penat menelaah pelajaran. Cuti kan ada, rehatlah waktu ini. Tidak sama sekali! Cuti di sini bermakna semakin banyak tanggungjawab yang dilambakkan memandangkan ramai yang menggunakan masa cuti untuk pulang ke tanah air. Bermula dengan urusan di kuliah sehingga urusan untuk menyambut pula kedatangan adik-adik. Istilah rehat bagiku cukuplah sekadar untuk melepaskan lelah. Tidak mengapa, rehat di syurga itu lebih kekal abadi.

 

إِنْ أَحْسَنْتُمْ أَحْسَنْتُمْ لِأَنْفُسِكُمْ

“Jika kamu berbuat baik, bererti kamu berbuat baik untuk diri sendiri.” (al-Isra’: 7)

 

خير الناس أنفعهم للناس

“Sebaik baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi orang lain.” (Hadis Riwayat Thabrani)

 

Adapun, pilihan setiap orang berbeza. Dan, pilihan yang dibuat itu membezakan setiap seorang daripada kita. Aku sama sekali tidak layak menilai. Aku juga manusia biasa yang mengharapkan reda Allah SWT. Aku cuma memilih untuk menjadi manusia yang lebih baik daripada diri aku sebelum ini. Perubahan ini tidak mungkin akan terjadi jika usaha yang dikeluarkan ibarat melepaskan batuk di tangga. Sesungguhnya, permata itu bukan sahaja memerlukan kepada proses yang memakan masa yang lama malahan kesukaran yang terpaksa dilalui menambahkan rasa putus asa. Tetapi, tengoklah hasilnya. Cantik di pandangan mata, bahkan menambahkan lagi kecantikan si pemiliknya. Tidak seperti kaca yang mampu menghadiahkan luka buat si pemilik.

Permata atau kaca? Kita penentunya.

 

………………………………………………………………………………………………………………………………………………..

 

Nur Aliaa binti Meor Idris

Tahun 4 Kuliah Perubatan

PERUBATAN Cawangan al-Azhar