KADAR SEWA RUMAH DI SEKITAR MESIR

kadar sewa

Buat adik-adik yang bakal tiba ke bumi Mesir ini, pasti tertanya-tanya bagaimana keadaan rumah di sini. Buat pengetahuan adik-adik, kebanyakan pelajar Malaysia di Mesir menyewa rumah di kawasan yang berdekatan dengan universiti.

Entri kali ini bertujuan untuk membantu adik-adik mendapat gambaran kasar berkenaan sewa rumah di setiap cawangan yang mempunyai pelajar Malaysia.Kadar sewa rumah yang terbaru ini diperolehi dari Biro Perumahan PERUBATAN Cawangan. Namun kadar sewa rumah ini boleh berubah mengikut keadaan semasa.

Kebiasaannya, pelajar perlu membayar Ta’min sebelum menyewa rumah. Ta’min ialah deposit sebulan atau 2 bulan sewa, seolah-olah insurans rumah yang boleh anda dapat semula bila anda keluar rumah nanti mengikut tempoh yang dipersetujui dalam keadaan rumah seperti sedia asal tanpa ada sebarang kerosakan di dalam rumah. Jika kita berpindah awal dari tempoh yang dipersetujui dalam akad atau adanya kerosakan rumah, kemungkinan kita tidak akan mendapat balik duit ini atau mendapat nilai yang lebih rendah.

Bilangan penghuni yang dicadang bagi setiap rumah adalah sekurang kurangnya 3 orang dan paling maksima ialah 6 orang bersesuaian dengan kawasan rumah dan bilangan bilik (pengecualian kepada pasangan berkahwin). Secara umumnya seorang individu akan membayar kadar sewa sebanyak LE 375 – LE 500. Rumah sewa disini terbahagi kepada 2 jenis iaitu mafrusyah (fully furnished) dan fadhiy (kosong). Seandainya kalian menyewa rumah fadhiy, kalian harus menyediakan sendiri segala perabot asas seperti katil, almari, meja belajar, kerusi, dapur memasak dan lain-lain keperluan.

Dalam pemilihan tempat tinggal, kalian boleh mengikut panduan dalam islam seperti memilih jiran sebelum memilih rumah seperti hadis Nabi Muhammad s.a.w “Di antara kebahagiaan seorang muslim ialah mempunyai jiran tetangga yang soleh, rumah yang luas dan kenderaan yang sempurna.” (Hadis Riwayat Ahmad dan Al Hakim). Sebelum memilih rumah sewa, kalian boleh merujuk Biro Perumahan PERUBATAN Cawangan masing-masing bagi mendapatkan kadar sewa rumah yang terbaru dan mengelakkan dari menyewa rumah yang telah disenarai hitam.

Kalian juga boleh meminta pendapat senior dalam memilih lokasi rumah dan meminta bantuan mereka atau Biro Perumahan untuk berurusan dengan pemilik rumah.

Semoga maklumat di atas dapat dijadikan panduan buat pelajar yang bakal melanjutkan pelajaran ke bumi Mesir ini dalam memilih rumah sewa.