[Cerpen: ‘What Egypt Did To Me’]

“Belajar sungguh-sungguh di sana. Jaga diri, jaga makan.”

 

Begitulah harapan ibu ayah terhadap anak-anak yang bakal menyambung pelajaran di tempat orang.

Aku mengangkat kaki mengambil langkah meninggalkan Ibu dan Abah. Sengaja aku melambat-lambatkan langkah tanda berat hati meninggalkan tanah air. Hatiku protes. Bukan kehendak aku untuk dihantar ke sana. Kalau bukan kerana permintaan Ibu dan Abah, pasti aku masih di Malaysia. Pasti aku belajar bersama-sama rakan ku.

Aku menghela nafas panjang. Mengimbau kembali memori lama. Sudah 4 tahun aku di sini, menuntut ilmu medik di Bumi Musa di Universiti al-Azhar.

“Yan! Termenung apa tu?”, sergah Ahmad daripada belakang.

“Eh, kau ni! Bukan nak beri salam. Tak ada apa-apa. Tengok adik-adik baru sampai ni buat aku teringat waktu kita tahun satu dahulu”, aku menjawab sambil melontarkan pandangan ku kepada adik-adik tersebut.

“Ok, kau sembang dengan adik-adik ni sekejap. Aku nak mandi”, minta Ahmad.

Aku hanya membalas dengan anggukan.

Melihat semangat yang dipamerkan oleh adik-adik ni membuat aku sedikit kagum. Jika nak dibandingkan dengan aku dahulu…

“Panasnya Mesir ni!”, perkataan pertama yang terpacul keluar dari mulut ku sesudah sampai di Kaherah.

“Alhamdulillah, panjang umur kita dan dah pun selamat sampai”, sahut seorang sahabatku.

Aku termalu seketika dengan jawapan yang diberikan. ‘Alhamdulillah’, ucapaku dalam hati.

Sampai-sampai sahaja kami disambut oleh abang-abang dan kakak-kakak yang sedia menanti kami di Lapangan Terbang. Kami dibawa ke bas, barang kami diangkat dan di dalam bas kami diberikan makanan.

Aku sedikit tersentuh dengan kebaikan yang ditunjukkan mereka. Bermulalah episode ku di Bumi Firaun ini.

Nilai pertama yang aku belajar ialah sikap tolong-menolong yang diterap dalam komuniti pelajar Malaysia di sini. Ikhlas yang ditunjukkan, bukan lakonan.

Masih segar dalam ingatan aku saat aku demam dan muntah-muntah. Abang Aki yang serumah dengan aku yang menjaga aku. Walau sekadar memasak bubur dan member makan ubat, namun keikhlasan yang dipamerkan menggamit hati aku.

Abang Aki selalu berpesan melalui hadis Nabi:

وَاللهُفِيْعَوْنِالْمَرْءِمَاكَانَفِىعَوْنِاَخِيْهِ

Maksudnya : “Allah selalu menolong orang selama orang itu selalu menolong saudaranya (sesama Islam).”

Maka aku mula berjinak-jinak untuk mengamalkan sifat tersebut. Bukan hanya kerana terhutang budi tetapi aku ingin menjadi golongan yang dimaksudkan dalam hadis tersebut.

 

—————————————————————————————————————-

 

“Abang Aryan, nak tanya boleh?”, sapaan adik tahun satu mematikan lamunanku.

“Tanya lah. Kalau aku nak jawab aku jawab”, aku menyakat penyoal soalan.

“Seronok tak belajar sini?”, dia bertanya.

Aku tersenyum. “Seronok tu terletak pada tangan orang tu. Kalau dia nak seronok, gembira maka dia akan cari perkara yang boleh membahagiakan dia. Begitu juga sebaliknya.”

“Kalau aku, sekarang aku seronok. Jauh beza dengan kali pertama aku datang sini. Semua benda aku tak suka. Tapi lama-kelamaan sayang juga aku pada Mesir”, aku menambah.

“Akan tiba masanya kau rasa keseronokan tu sendiri, dik. Rehatlah dulu, nanti kita sembang lagi”, aku menjawab lagi.

Aku melangkah keluar, membiarkan adik-adik berehat di dalam bilik.

Soalan adik tadi membuatkan aku terfikir apa yang buat aku seronok di sini.

“Jomlah pergi kelas Syeikh, Aryan!”, ajak Ali.

“Malaslah. Kau pergilah. Aku nak duduk di rumah, belajar”, jawabku acuh tidak acuh.

“Sekali je Yan kau cuba pergi. Kalau kau rasa tak best juga aku tak ajak kau dah”, bersungguh dia memujuk. Memang dia tidak pernah berputus asa mengajak aku. Setiap kali dia pergi setiap kali itu juga dia cuba menarik aku.

“Ya lah aku ikut. Kali ni je tau”, aku bersetuju separuh hati.

Ajakan pertamanya yang aku terima membuatkan aku sehingga sekarang menjadi penuntut tegar kelas-kelas agama begini.

Aku mula sedar. Tak akan duduk di Mesir 6 tahun tidak mahu mengambil peluang menuntut ilmu lain selain bidang aku. Memang benar aku datang kerana hendak menjadi doktor. Storage otak manusia tu besar, muat sahaja masukkan ilmu-ilmu lain.

Sekadar mengisi masa lapang dan membentuk rohani aku. Sewaktu aku pulangke Malaysia baharu ini, sudahlah asyik suruh menjadi Imam solat, hukum-hukum pun ditanya kepada aku. Soalan yang diulami dengan pernyataan “Doktor kan belajar di Mesir. Mesti tahu bab-bab sebegini.”

Mujur sahaja aku menuntut kelas-kelas pengajian agama. Paling kurangaku ada sedikit ilmu untuk dikongsikan. Sehinggakan kadang-kadang adik-adikku menggelarku Ustaz.

Ayahku juga berpesan, dalam apa jua bidang yang kita ambil, biarlah selari dengan hokum-hakam Islam. Aku belajar perubatan maka aku jualah yang harus tahu lebih tentang fikah perubatan. Jika tidak, apa beza aku dan doktor berlainan bangsa.

Inilah nilai kedua yang buat aku suka berada di sini. Ruang untuk menuntut ilmu di sini terlalu banyak. Sana sini banyak buat kelas pengajian. Terpulang kepada kaki engkau untuk melangkah dan mencuba. Bak kata orang, di sini kau boleh memilih nak menjadi Musa atau Firaun.

Terima kasih Ali kerana sudi mengajak aku. Benarlah hadis Nabi S.A.W “Perumpamaan kawan yang soleh dengan yang buruk itu seperti penjual minyak wangi dan tukang pandai besi. Berkawan dengan penjual minyak wangi akan membuatmu harum, kerana kamu boleh membeli minyak wangi daripadanya, atau sekurang-kurangnya kamu mencium bau wanginya. Sementara berkawan dengan pandai besi, akan membakar badan dan bajumu, atau kamu hanya mendapatkan bau tidak sedap” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

 

————————————————————————————————————————-

 

“Nak pergi mana Ahmad?”, aku sapa Ahmad yang sedang bersiap-siap hendak keluar rumah.

“Ada mesyuarat di Markas”, dia menjawab.

“Bagusnya pengerusi kita ni. Dalam kesibukan sempat turun padang sambut adik-adik”, aku membalas.

“Tanggungjawab, Yan. Aku pergi dahulu”, Ahmad memberikan jawapan sambil membuka pintu.

Nilai seterusnya yang aku belajar di sini. Hidup berpersatuan. Ada orang kata, mahasiswa perlu fokus pada pelajaran semata. Bagi aku tidak. Dua benda tersebut boleh berjalan seiring. Lihat sahaja Ahmad. Kedua-duanya cemerlang. Sudahlah berjawatan tinggi di persatuan, namun pelajaran tak pernah diabaikan. Ayat yang dipegangnya ialah surah Hud ayat 88, “وَمَاتَوْفِيقِيإِلَّابِاللَّهِ ۚ yang bermaksud: Dan tidak ada taufik bagiku melainkan dengan (pertolongan) Allah”.

“Persatuan tidak patut dijadikan hujah untuk tidak berjaya dalam pelajaran. Jika Allah nak beri kejayaan, Dia akan beri juga”, kata Ahmad sejak dahulu lagi.

Antara perkara yang aku kagum dalam hidup berpersatuan ialah biah solehah yang cuba diwujudkan. Dalam program ada unsur tarbiah, diajar solat berjemaah, diasingkan aktiviti lelaki dan perempuan dan sebagainya. Semua ini susah untuk didapati daripada semua persatuan atau negara, namun kita yang harus memilih dan membuka mata.

“Carilah persatuan yang ada mengamalkan nilai-nilai Islam, nescaya kita yang akan mendapat manfaat daripada suasana tersebut”, ujar mentor aku sewaktu Tahun Satu.

Maka benarlah, dengan memilih persatuan yang baik, manfaatnya dapat kepada aku semula.

Jika aku sendiri, aku suka benda baharu yang aku belajar. Kini, aku boleh mengendalikan mesyuarat, bertatih-tatih dalam bidang grafik dan dapat bekerja dengan pelbagai jenis orang. Variasi yang melengkapkan.

Maka aku tidak menyesal untuk terlibat dengan persatuan. Ibu dan Abah malah menyokong. Mungkin mereka melihat perubahan yang berlaku pada diri aku.

Jika dahulu, solat pun harus diingatkan, sekarang aku cuba untuk turun ke masjid setiap waktu.

Jika dahulu aku hanya menonton Anime di masa lapang, kini aku cuba banyakkan turun kepada masyarakat. Ziarah-menziarahi, mengajar tutor, semua telah pun aku cuba.

 

Kerana Mesir sudah mengubahku.

 

Nur Syazwin binti Mohammad Shukri

Timbalan Presiden,

Persatuan Pelajar-pelajar Sains Kesihatan Malaysia-Mesir (PERUBATAN),

Sesi 2017/2018.