[Kenyataan Rasmi: Program Sambutan Mahasiswa Baharu (AHLAN) 2017]

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

Segala puji bagi Allah S.W.T, pemilik segala kerajaan dan sekalian alam yang Maha Penyayang terhadap hamba-hamba-Nya walaupun sering diingkari. Selawat dan salam buat junjungan Nabi Muhammad S.A.W, yang diutus bagi menyampaikan risalah Islam dan menyempurnakan akhlak umat manusia.

Sahabat-sahabat mahasiswa baru yang dikasihi,

Malaysia pada kebelakangan ini menyaksikan masalah lambakan graduan sains kesihatan yang berada dalam sektor perkhidmatan kesihatan. Selain itu, masalah kompetensi dan jati diri graduan sains kesihatan juga menjadi krisis yang besar di Malaysia. Isu-isu ini selayaknya diberikan perhatian oleh mahasiswa sains kesihatan yang baru, kerana akar masalah ini bukan pada bilangan pelajar Malaysia baharu di fakulti-fakulti perubatan seluruh dunia, tetapi pada isu kompetensi yang menjadikan kekosongan tempoh housemanship semakin sesak dengan graduan-graduan yang tidak kompeten, bermasalah dan tiada nilai tambah buat masyarakat.

Pada satu sisi, keadaan ini seharusnya menjadikan kita berazam untuk menjadi seorang pelajar yang baik dan kompeten, supaya bukan hanya untuk memenuhi posisi-posisi tenaga kerja, bahkan menjadi profesional sains kesihatan yang rabbani (dalam memastikan integriti) dan kompeten (untuk memacu kemajuan); selari dengan visi Persatuan Pelajar-pelajar Sains Kesihatan Malaysia-Mesir (PERUBATAN) yang telah mencecah usia 16 tahun dalam membawa komuniti mahasiswa sains kesihatan Malaysia di Mesir ke tahap yang lebih maju.

Umum mengetahui bumi Mesir ialah bumi Anbiya’, bumi yang menyaksikan perjalanan hidup Nabi Yusuf A.S yang sangat dinamik; daripada seorang hamba sehinggalah menjadi seorang menteri. Bumi yang turut menyaksikan perjuangan agung Nabi Musa A.S dalam berhadapan dengan Firaun, bumi inilah juga tempat di mana Allah S.W.T membalas kesombongan Qarun dan Firaun yang ingkar. Maka bumi ini sepatutnya mengajar kita sikap yang selari dengan kebenaran dan menyedarkan kita mengenai cabang-cabang kebatilan yang dimurkai.

Rakan-rakan mahasiswa sains kesihatan sekalian,

Perjalanan sebagai seorang mahasiswa sains kesihatan Malaysia di Mesir ini sangat berharga. Pengalaman bermasyarakat dan berorganisasi dalam PERUBATAN sememangnya sangat baik bagi mengasah nilai tambah mahupun bakat terpendam dalam diri, di samping meluaskan jaringan persahabatan sesama komuniti ketujuh-tujuh universiti di Mesir. Selain itu, pengalaman berinteraksi dengan masyarakat tempatan akan membuka mata kita mengenai sisi-sisi baru dalam budaya manusia, di samping menjadikan kita manusia yang lebih matang melalui nilai-nilai ‘sekolah jalanan’ yang ada.

Dalam pada itu jangan dilupakan, perjalanan hidup setiap manusia pula sememangnya berbeza-beza. Kita ditakdirkan oleh Allah S.W.T untuk berada dalam suatu keadaan di suatu ketika bukanlah untuk disia-siakan, tapi untuk dibawa kebaikan sama ada dalam diri kita atau orang-orang di sekeliling kita. Sebagai mana firman Allah S.W.T dalam Surah al-Mu’minun ayat 115:

أفحسبتم أنما خلقناكم عبثا وأنكم إلينا لا ترجعون

“Maka adakah patut kamu menyangka Kami hanya menciptakan kamu sahaja dengan tiada sebarang manfaat daripadanya? Dan kamu menyangka pula tidak akan dikembalikan kepada Kami?”

Maka apabila kita diberi peluang sebagai penuntut ilmu untuk mengembara di bumi Mesir ini, seharusnya kita menjadikan pengembaraan ini penuh hikmah. Dengan membawa harapan keluarga dan rakyat di tanah air, letakkan azam dan matlamat yang baik supaya bukan hanya kita yang mendapat faedah daripada perjalanan ini, tapi juga orang-orang yang kita jumpa sepanjang pengembaraan ini dan kelak masyarakat di Malaysia.

Akhir kata, saya mendoakan semoga kita semua sentiasa berada dalam jagaan Allah S.W.T sepanjang kembara kita dalam menuntut ilmu di bumi Mesir. Semoga permulaan ini menjadi permulaan yang menatijahkan kebaikan di dunia dan akhirat kelak dengan izin Allah S.W.T.

 

Sekian, siiru ala barakatillah.

Shahir BLOG

 

 

 

 

 

 

 

 

AHMAD SHAHIR BIN AHMAD JALALUDIN

Presiden,

Persatuan Pelajar-pelajar Sains Kesihatan Malaysia-Mesir (PERUBATAN),

Sesi 2017/2018.