UNIVERSITI ISKANDARIAH

alex

Universiti Iskandariah: Sejarah Ringkas

Universiti Iskandariah atau dikenali juga sebagai Universiti Alexandria amat terkenal di Mesir. Kedudukannya yang terletak berhampiran pantai menjadi pilihan pelajar-pelajar di samping sistem pembelajaran selaras dengan keperluan seluruh dunia

Pada tahun 1938, Universiti Iskandariah atau Alexandria, dahulunya dikenali sebagai Universiti Farouk sehinggalah ditukar namanya pada tahun 1952 bermula dengan dua fakulti iaitu fakulti Sastera dan Undang-Undang. Fakulti Kejuruteraan kemudiannya telah ditubuhkan pada tahun 1941.

Memandangkan keperluan untuk membangunkan lebih fakulti untuk pengajian tinggi dan dengan pandangan ke arah memenuhi keperluan rakyat daripada Iskandariah sendiri, Universiti Iskandariah menjadi sebuah entiti yang lain pada bulan Ogos 1942 dengan empat fakulti tambahan: Sains, Perdagangan, Perubatan dan Pertanian.

Fakulti perubatan yang telah diasaskan oleh dua orang doctor iaitu Mi Ibrahim Pasha (Professor Pembedahan) dan Dr. Mohamed Mahfouz Bey ( pakar mata) pada ogos 1942. Pembelajaran perubatan fakulti ini mengambil dua tempat berbeza mengikut pengajaran samada praklinikal ataupun klinikal.

Praklinikal berlangsung di premis Hospital Mouassah, manakala pengajaran klinikal berlangsung di Hospital Miri.

 

Bangunan akademik untuk pelajar praklinikal yang terletak di Hospital Mouassah.

Bangunan akademik untuk pelajar praklinikal yang terletak di Hospital Mouassah.

 

 

Pengangkutan

alex-3

Kebanyakan mahasiswa Malaysia di Iskandariah menggunakan perkhidmatan kereta api atau lebih dikenali dengan nama tram dari kawasan rumah mereka ke tempat kuliah atau rumah rakan. Tambang menaiki tram adalah sebanyak LE 0.25 dari perhentian yang pertama hinggalah perhentian yang terakhir.

Selain itu, van atau dikenali sebagai tramco turut dijadikan kenderaan pengangkutan untuk pelajar. Tambang menaiki tramco pula adalah dalam lingkungan LE 0.50 hingga LE 1.50.

Selain tram dan tramco, teksi juga merupakan pengangkutan utama para mahasiswa sama ada ke tempat kuliah atau ke mana-mana destinasi pilihan. Tambang teksi dari satu tempat ke satu tempat yang lain adalah bergantung kepada jarak perjalanan dan kesibukan lalu lintas.

Segelintir mahasiswa pula lebih gemar membeli motosikal sendiri untuk ke tempat yang ingin dituju. Pengangkutan ke bandar-bandar lain seperti Kaherah, Tanta, Mansoura dan Zaqazig pula ialah kereta api, van, kereta sewa dan bas.

 

 

Tempat membeli-belah

alex-5

Hidup berdikari di perantauan sememangnya tidak dapat lari dengan aktiviti membeli-belah untuk membeli barang keperluan diri dan rumah sewa. Pusat beli-belah yang menjadi tumpuan pelajar Malaysia di Iskandariah ialah Carrefour walaupun jarak Carrefour ke kawasan rumah para pelajar adalah jauh.

Selain itu, para pelajar turut gemar membeli barang keperluan mereka di Alex Market ataupun Fathalla yang lebih dekat dengan kawasan kediaman. Pasar Camp Caesar turut terkenal dalam kalangan pelajar Malaysia di Iskandariah untuk membeli barang basah bagi tujuan memasak.

 

 Aktiviti riadah

Para mahasiswa beriadah di Istad Gam’ah

Para mahasiswa beriadah di Istad Gam’ah

Hari Jumaat merupakan hari yang khusus untuk pelajar Malaysia di Iskandariah beriadah memandangkan sebilangan besar mahasiswa hanya bercuti pada hari Jumaat dalam seminggu. Para pelajar kebiasaannya bergilir untuk beriadah di tempat-tempat seperti Istad Gam’ah, Kuliah Tijarah, Kuliah Zira’ah ataupun gelanggang baru di Hospital Syatby. Antara riadah yang menarik adalah futsal, bola keranjang, bola tampar, bola jaring dan sebagainya. Giliran untuk beriadah pula adalah dua minggu sekali untuk mahasiswa dan dua minggu sekali juga untuk mahasiswi.

Pada hari-hari kuliah, ramai pelajar akan bersenam di gimnasium pada waktu petang ataupun berlari di kawasan pantai berdekatan rumah masing-masing. Terdapat juga pelajar yang bermain futsal, bola keranjang dan bermain permainan yang lain.

 

Aktiviti perkelahan

Pemandangan ketika berbasikal di Ma’mourah.

Pemandangan ketika berbasikal di Ma’mourah.

Kawasan perkelahan yang terkenal di Iskandariah adalah berdekatan dengan pantai memandangkan Iskandariah merupakan bandar pesisiran Laut Mediterranean. Antara kawasan yang menjadi tumpuan para pelajar untuk berkelah adalah Montazah.

Hal ini adalah kerana Montazah merupakan taman pinggir laut yang mempunyai keluasan 155.4 hektar dan di dalamnya tersergam istana Raja Farouk yang memiliki seni bina yang indah dan cantik. Pelajar juga boleh menyewa basikal untuk bersiar-siar di kawasan sekitar Ma’mourah.

 

Kelas pengajian

alex-7

Pengajian kelas agama atau dipanggil tafaquh merupakan antara aktiviti mingguan para mahasiswa di Iskandariah. Setiap malam Jumaat, dewan kuliah di Convention Centre akan penuh dengan para mahasiswa yang hadir untuk menuntut ilmu agama, dengan pelbagai tajuk ilmu agama mahu pun kitab didiskusikan oleh pengisi yang mantap.

 

Makanan dan Minuman

Antara restoran yang menjadi tumpuan komuniti pelajar sains kesihatan di sini sudah semestinya kedai yang menyajikan hidangan Melayu. Kafe Sri Putra yang terletak di bangunan MARA sering menjadi pilihan utama pelajar. Selain itu, restoran LA  Alexandria, yang terkenal dengan menu ayam penyet, juga sering dikunjungi pelajar kerana lokasinya yang terletak di kawasan Gam’ah yang mempunyai taburan penempatan pelajar Melayu yang tinggi.

‘Asir Makkah, sudah tidak asing lagi bagi penggemar jus buah-buahan di Iskandariah. Kedai yang menjual pelbagai jenis jus buah-buahan ini tidak surut dari pada pengunjung. Rugi rasanya sesiapa yang masih belum mencuba jus dari kedai ini.

 

Klinik Alex Medical Team dan Alex Dental Team

alex-8

Para pelajar boleh mendapatkan khidmat kesihatan di Asrama MARA. Klinik Care For You dibawah seliaan Health Academy dan diuruskan oleh ahli Alex Medical Team (AMT) beroperasi setiap hari jumaat bermula pukul 2 sehingga 7. Dengan bantuan Dr Hamdy, klinik ini menawarkan perkhidmatan seperti medical check-up, minor surgery seperti suture dan rundingan kesihatan.

Selain itu, Alex Dental Team (ALDT) turut beroperasi di tempat yang sama. Antara perkhidmatan yang disediakan termasuklah pameran kesihatan tentang penjagaan dan kesihatan gigi serta dental check-up.

 

Komuniti PERUBATAN

Majoriti mahasiswa sains kesihatan (perubatan, pergigian dan farmasi) tinggal di sekitar Azarita hingga Cleopatra. Kawasan yang paling padat dengan mahasiswa adalah di sekitar hentian tram Gam’ah dan Camp Caesar. Kawasan lain yang menjadi tumpuan penduduk adalah di sekitar belakang fakulti kejuruteraan kerana berhampiran dengan kawasan yang menjadi tempat pengajian para mahasiswa perubatan pre-klinikal.

Rata-rata mahasiswa pre-klinikal lebih gemar berjalan kaki ke kuliah memandangkan kawasan universiti mereka terletak berhampiran dengan kawasan kediaman, berbanding mahasiswa klinikal yang boleh memilih sama ada hendak menaiki tram atau tramco untuk ke kuliah.

 

Layari Laman Web Universiti Iskandariah :

Fakulti Perubatan:http://au.alexu.edu.eg/English/Pages/default.aspx

Fakulti Pergigian: http://au.alexu.edu.eg/English/Pages/default.aspx