365 HARI DI BUMI MUSA

Berada di Mesir merupakan satu pengalaman yang berbeza jika dibandingkan berada di tanah air sendiri. Pada mulanya pelbagai tanggapan dan persepsi yang sering bermain di fikiran sebelum tiba di bumi Mesir kerana tidak mendapat pendedahan tentang persekitaran dan suasana di Mesir. Sebaik sahaja selamat tiba, minda dan perasaan bercampur baur dek kerana perbezaan suasana yang begitu ketara berbanding Malaysia.

Perkara pertama yang menghairankan aku tentang Mesir ini adalah geografinya yang berwarna coklat dilitupi pasir. Tidak cukup dengan itu, bangunan-bangunannya jugak rata-rata berwarna serupa – COKLAT ! Berbeza dengan Malaysia yang penuh kehijauan tumbuh-tumbuhan dan pembangunan yang pesat. Mungkin kerana faktor geografi dan cuaca di sini. Selain perbezaan struktur bumi, perangai dan tingkah laku masyarakat Arab Mesir juga agak berbeza dengan rakyat Malaysia. Mereka agak kasar dan tidak sabar berlainan dengan sikap dan adab kebiasaan rakyat Malaysia yang sopan dan baik hati.

Untitled

Setelah sebulan lebih berada di Mesir, kami pelajar tahun 1 Universiti Kaherah yang terdiri daripada tiga orang jejaka  terpilih telah ditempatkan di sebuah rumah sewa kecil untuk didiami bersama. Pada awalnya, pelbagai masalah telah kami hadapi seperti masalah komunikasi bersama tuan rumah, masalah komunikasi ketika hendak membeli barang, masalah perpaipan imarah dan lain-lain. Namun, setelah beberapa bulan kami menetap rumah sewa tersebut, segala masalah tersebut dapat diselesaikan secara beransur-ansur.

index

Antara perkara menarik ketika kami tinggal bersama yang boleh dikongsikan ialah rutin jadual memasak, pelbagai kerenah dan peristiwa yang berlaku kerana rata-rata antara kami tidak mempunyai kemahiran memasak yang baik. Contohnya, terlupa menanak  nasi, lauk terlebih masin dan terlebih rempah, kehabisan gas, kehabisan barang dapur, kenaikan harga bahan mentah dan lain-lain masalah yang dihadapi ketika masak. Alah bisa tegal biasa. Lama-kelamaan, masing-masing sudah pandai menghasilkan menu daripada air tangan sendiri. Boleh dibuat calon menantu lah kata orang.

Sebenarnya banyak lagi pengalaman-pengalaman yang aku mahu ceritakan tapi biarlah adik-adik semua lalui sendiri liku-liku sepanjang berada di sini. Perjalanan kami pun masih panjang lagi. Sedikit nasihat untuk adik-adik  dalam meniti hari-hari yang mendatang di ‘Bumi Musa’ ini, semangat berdikari dan tidak berputus asa haruslah ditanam dalam kamus hidup masing-masing untuk terus cekal mengharungi segala cabaran. Di samping mengejar kecemerlangan dalam ilmu perubatan yang kita tuntut di sini. Seperti  kata-kata  motivasi dalam cerita ‘3 Idiots’ , “ kejarlah kecemerlangan terlebih dahulu, kemudian biar kejayaan yang mengejar kamu selepas itu” .

Oleh : Mohamed Noor Hafiz , tahun 1 Universiti Kaherah.