Bumi Kinanah: Introspeksi Membawa Erti

Seawal jam 7 pagi, sudah hingar-bingar pekan kecil ini. Bagaikan sedang bermimpi berada di negara di bawah pemerintahan tentera ini. Sesibuk jalanan diasak kenderaan ringan dan berat, rakyatnya gigih dan tekun menjalani rona kehidupan harian. Dari pinggiran jalan, aku menjadi pemerhati lalu lintas yang entah bila akan surut trafiknya.

‘Rindunya udara Mesir,’ ujur Kak Ain, bekas pelajar pergigian salah sebuah universiti di Mesir, semasa sama-sama menyeberangi jalan.

Bukan satu keajaiban kepada rata-rata perantau ilmu di Bumi Kinanah ini berjalan kaki lebih 500 meter sehari menuju dari satu destinasi ke destinasi yang lain. Resam berada di negeri orang, tambahan pula apabila bergelar mahasiswa dan mahasiswi. Kata orang, ketika inilah kita kenal erti susah dan senang. Biar nanti dicampak ke laut menjadi pulau.

Negara benua Afrika ini menyimpan 1001 sejarah sejak awal pembentukan tamadun kemanusiaan. Saban tahun, sirah Musa dan Firaun tidak terlepas untuk disingkap bersama riwayat Mesir Purba. Ketokohan panglima dan tentera Islam seperti Amru al-Asr, Salahuddin al-Ayubi, Zubair al-Awwam dan banyak lagi tercatat kemas pada tugu-tugu bersejarah di sekitar kota seribu menara ini. Pernah suatu ketika, Sungai Nil yang mengalir pada hari ini kering kontang. Namun dengan kuasa Allah, selepas Saidina Umar RA mengutuskan sepucuk surat kepada Sungai Nil, airnya kembali mengalir. Mungkin lipatan sejarah tersebut yang sentiasa membuatkan tetamu-tetamunya merindui atmosfera Mediterranian.

‘Kholas (Sudah)! Sollu ‘ala nabi.’ Jeritan seorang pemuda berbadan sasa di seberang jalan meleraikan pergaduhan mematikan perbualan rancak aku dan Kak Ain.

Begitulah budaya masyarakat di sini. Berkelahi dan kasar tidak dapat dipisahkan. Tidak dinafikan, ada juga segelintir mereka yang suka mengambil kesempatan atas kelembutan dan sikap mengalah orang Asia. Rambut sama hitam, hati lain-lain. Pergaduhan kecil tadi berjaya dileraikan. Sikap mudah memaafkan dan tidak berdendam dalam kalangan masyarakat tempatan di sini wajar dicontohi. Mereka juga sangat menghormati warga asing yang datang menuntut ilmu di negara mereka. Asal boleh dirai, mereka tidak lokek meraikan.

Kunjungan Kak Ain menggamit memori Perlembahan Nil 5 tahun yang lalu. Keakraban aku dan Kak Ain bermula ketika awal kedatangan aku ke Mesir disambut meriah oleh kakak dan abang senior di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah. Sewaktu melakukan persiapan untuk berangkat ke Mesir, pelbagai persoalan dan bayangan bermain di fikiran. Program orientasi dan persediaan di Malaysia belum cukup memuaskan untuk mendapat gambaran sebenar kehidupan di perantauan ketika itu. Perkenalan singkat dengan senior dalam program persediaan tersebut tidak disia-siakan. Merekalah yang menjadi tempat rujukan dan kaunter pertanyaan.

Awal ketibaan aku di Mesir, aku ditemukan dengan sahabat-sahabat Malaysia yang sebaya daripada 6 buah universiti yang lain dalam sebuah program sambutan mahasiswa dan mahasiswi baharu yang diberi nama ‘AHLAN’. Aku kira, program ‘AHLAN’ ini umpama pelengkap kepada program persediaan di Malaysia sebelum itu. Pelbagai perkongsian dan petua didedahkan oleh senior-senior yang hebat dan cemerlang. Keazaman dipasak kemas kepada kami, mahasiswa dan mahasiswi baharu, ketika itu memandu serta mengubat kerinduan kepada keluarga dan tanah air.

Kini aku berada di tahun akhir pengajian perubatan. Memdewasa dengan sahabat-sahabat di negara orang merupakan pengalaman yang sangat berharga bagiku. Hidup dalam komuniti yang sentiasa ingin memberi dan berkhidmat kepada masyarakat adalah medan terbaik untuk membina diri pengamal sains kesihatan yang mesra kelak. Pelbagai ilmu kehidupan dapat ditimba selain ilmu teori daripada pensyarah-pensyarah di kuliah yang mahsyur sebagai lubuk ilmu. Peluang yang tidak patut dilepaskan apabila bergelar mahasiswa dan mahasiswi sains kesihatan Timur Tengah ialah menggarap sebanyak mungkin ilmu dalam bidang yang diambil di samping tidak meninggalkan ilmu-ilmu agama.

20

Berada dalam persatuan pelajar mengajar aku untuk menguruskan masa sebaiknya. Bergelar mahasiswa perubatan bukanlah penghalang untuk aku bergiat aktif dalam persatuan. Namun pelajaran tetap diutamakan. Senior-senior sebelum ini menjadi sumber inspirasi dalam membentuk diri menjadi mahasiswa yang rabbani dan kompeten, mahasiswa yang mempunyai nilai yang tersendiri serta mampu menjadi setanding dengan mahasiswa yang lain. Masih aku semat pesanan-pesanan awal senior semasa awal perjalanan sebagai musafir ilmu, ‘Perbaharui dan perbanyakkan niat ketika berada di Mesir, Bumi Kinanah, tempat doa mudah dikabulkan. Pilihlah sama ada mahu menjadi Musa atau Firaun.’

index

‘Maka ketika mereka (Nabi Yaakub dan keluarganya) masuk (ke Mesir) menemui Yusuf, Yusuf segera menyambut serta memeluk kedua ibu bapanya, sambil berkata: “Masuklah kamu ke negeri Mesir, insya-Allah kamu berada dalam keadaan  aman.’

(Surah Yusuf: 99)

 

Dari Abu Hurairah radhiallahu’anhu, ‘Sesungguhnya Rasulullah   bersabda: Barangsiapa menempuh jalan untuk mencari ilmu, maka Allah akan memudahkan baginya jalan ke syurga.’ (HR Muslim).

 

oleh : Afiqah Inani binti Mohd Haslin