PANDUAN KESIHATAN DAN KESELAMATAN DI MESIR

Panduan Kesihatan

Mesir ialah negara yang mempunyai dua musim iaitu musim panas dan musim sejuk. Bermula Mei hingga Oktober adalah musim panas dan November hingga April adalah musim sejuk. Jadi sebaiknya kepada mereka yang akan bermusafir ke Mesir boleh mula merancang dan mengambil langkah pencegahan untuk menjaga kesihatan semasa berada di sana nanti.

 

Sedikit tips penjagaan kesihatan yang dapat kami kongsikan dibawah,

 

Tips kesihatan semasa musim panas.

 

  1. Minum air sebanyak mungkin sekurang-kurangnya lapan gelas atau satu liter sehari bagi mengelakkan masalah dehidrasi atau kehilangan air.
  2. Minum minuman isotonik untuk menggantikan garam yang hilang ketika berpeluh
  3. Berehat dengan kerap
  4. Pakai pakaian yang terang dan longgar.
  5. Hadkan aktiviti anda di luar rumah .
  6. Pakai topi atau payung untuk mengelakkan pancaran haba terus ke badan kita
  7. Pakai losyen untuk mengelakkan kulit kering .

Akhir sekali , sentiasalah berdoa kepada Allah dikurniakan kesihatan yang baik dan dijauhkan penyakit .Kerana sekuat apapun kita berusaha agar tidak sakit, namun apabila Rabb kita menghendaki kita sakit maka tiada daya bagi manusia untuk mengelak.

Sumber : Dr. Zubaidi

Cuaca panas di Mesir yang pernah mencecah 45 darjah Celcius boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan. Masalah yang sering terjadi adalah berlakunya pendarahan hidung. Jadi bagaimana cara untuk menghentikannya jika berlaku?

  1. Duduk dan picit hidung anda pada bahagian atas lubang hidung, iaitu di bahagian yang lembut.
  2. Teruskan memicit selama lebih kurang 10 minit.
  3. Bongkok ke hadapan supaya darah menitik keluar daripada hidung anda, bukan masuk ke dalam. Sekiranya darah masuk ke dalam perut, anda akan berasa mual.
  4. Duduk tegak, bukan berbaring agar tekanan darah di dalam hidung anda berkurangan.
  5. Teruskan menekan bahagian atas hidung anda selama 20 minit supaya darah membeku dengan baik.
  6. Anda juga boleh menggunakan pek ais untuk melegakan bahagian itu.

Bagi menghalang pendarahan berlaku semula dalam masa 12 jam berikutnya, elakkan daripada;

  1. Menggerakkan kepala lebih rendah daripada paras jantung anda.
  2. Melakukan kerja-kerja berat.
  3. Menghembus hidung.

header

 

Kesimpulannya mengenai kesihatan, jika adik-adik sememangnya menghidap penyakit sejak berada di Malaysia, dinasihatkan untuk membawa ubat-ubatan sendiri atau minta khidmat konsultan daripada doktor di Malaysia berkenaan dengan keadaan adik yang akan menyambung pelajaran di luar negara. Jangan malu untuk meminta bantuan senior berkenaan hal-hal kesihatan.

Panduan Keselamatan

Panduan Umum Keselamatan

  1. Pelajar akhawat (mahasiswi) diharapkan tidak mengambil langkah berani dengan keluar berseorangan tanpa teman pada waktu siang mahupun malam terutamanya untuk ke destinasi yang agak jauh.
  1. Sekiranya akhawat terpaksa keluar seorang diri, dilarang menggunakan khidmat teksi kerana dikhuatiri perkara tidak diingini berlaku. Anda boleh menggunakan perkhidmatan bas atau tramco dengan syarat, sentiasa berjaga-jaga dan turun sekiranya semua penumpang telah turun. Ini bagi mengelakkan anda berseorangan di dalam kenderaan awam.
  1. Pelajar akhawat tidak disarankan keluar tanpa tujuan pada waktu malam kecuali jika mempunyai urusan yang penting sahaja. Ini bagi mengelakkan apa-apa risiko keselamatan kerana jenayah banyak berlaku pada waktu malam dan awal subuh. Sekiranya perlu atau terdesak, pastikan anda keluar dalam kumpulan dan mesti ditemani musyrif. Pelajar ikhwah juga dinasihatkan untuk tidak keluar berseorangan pada waktu gelap.

**Musyrif ialah pelajar ikhwah yang dijadualkan untuk menemani atau menjaga mana-mana akhawat yang perlu keluar pada waktu malam.

  1. Anda semua dinasihatkan supaya tidak membawa wang dalam kuantiti yang banyak dan tidak terlalu mendedahkan barang-barang berharga seperti telefon  bimbit, MP3, kamera dan yang sewaktu dengannya.
  1. Diharapkan semua pelajar dapat menjaga tingkah laku dan tidak terlalu ramah bersama warga Arab yang tidak dikenali atau baru dikenali.

 

Garis Panduan Keselamatan Bil 1 Tahun 2016 Kepada Warganegara Malaysia

di Republik Arab Mesir

1 2 3 4