Adab Bermusafir Mengikut Sunnah Rasulullah ﷺ

Allah berfirman dalam surah Al-Mulk ayat 15 yang bermaksud:

 

“Dialah yang menjadikan bumi untuk kamu mudah dijelajahi, maka jelajahilah di segala penjurunya dan makanlah sebahagian dari rezekiNya. Dan hanya kepadaNya lah kamu kembali setelah dibangkitkan”.

            Bermusafir merupakan salah satu daripada sunnah Rasulullah SAW. Dalam permusafiran, kita sebagai umat Islam selayaknya mengamalkan panduan-panduan syarak di samping memaksimumkan amalan-amalan sunnah dalam setiap perkara yang dilakukan. Banyak manfaat yang boleh kita dapati selain menunjukkan ciri-ciri Muslim dan Mukmin yang sejati. Berikut tatacara untuk mendapat kembara yang berkat.

Indian-Aviation-Industry-300x217

  1. Niat. Niat mestilah baik, bukan untuk berbuat maksiat atau kemungkaran. Perjalanan mestilah dengan tujuan, bukan main keluar saja tanpa memikirkan tujuan dan aktiviti yang ingin dicapai.Abu Hurairah r.a meriwayatkan:

Seorang lelaki berkata (kepada Rasulullah), wahai Rasulullah, saya akan memulai perjalanan (musafir), jadi berikanlah nasihat kepada saya. Nabi berkata: hendaklah engkau bertakwa kepada Allah dan bertakbir setiap kali melewati (melalui) tempat yang tinggi. Selepas lelaki itu pergi, Nabi s.a.w berdoa, “Ya Allah, dekatkanlah jarak perjalanannya dan mudahkan perjalanannya.” 

(Hadis diriwayatkan oleh Tirmidzi)

  1. Dirikan solat sunat dua rakaat sebelum keluar rumah. Moga Allah permudahkan segala urusan.

“Tidaklah seseorang meninggalkan sesuatu bagi keluarganya yang lebih baik dari 2 rakaat yang dilakukan di sisi mereka ketika berniat untuk bermusafir”

(Hadis diriwayatkan oleh Tabrani)

  1. Memulakan musafir selain dari hari Jumaat supaya tidak terlepas Solat Jumaat.

“Rasulullah SAW berangkat ke Perang Tabuk pada Khamis. Rasulullah menyukai memulai perjalanannya pada Khamis.”

(Hadis diriwayatkan oleh Bukhari)

  1. Membawa beg kecil yg berisi keperluan diri. Macam Rasulullah sendiri membawa beg kecil berisi kayu sugi, celak, sikat, minyak wangi dan cermin.

 

  1. Meminta izin dan mengucapkan selamat tinggal kepada keluarga.

“Apabila seseorang dari kamu akan bermusafir , hendaklah meminta izin kepada saudara-saudaranya, sebab sesungguhnya Allah S.W.T menjadikan kebaikan pada doa mereka.”

(Diambil dari kitab al-Azkar Imam Nawawi)

  1. Memulakan perjalanan pada waktu malam. Berjalan di waktu malam dapat menjimatkan masa atau memendekkan masa perjalanan kerana malam lebih tenang. Kalau siangkan banyak kenderaan. Dan moga kita dijaga Allah.

“Berjalanlah pada waktu malam kerana bumi dijadikan lebih pendek pada waktu malam.”

(Hadis diriwayatkan oleh Abu Daud)

  1. Bermusafir dengan berteman. Kalau lebih dari 3 orang, sunat melantik ketua bagi perjalanan tersebut.

“Jika manusia mengetahui bahaya bermusafir sendirian sebagaimana aku ketahui, tentu mereka enggan bermusafir sendirian.”

 (Hadis diriwayatkan oleh Bukhari)

  1. Membaca doa sebelum bermusafir, doa naik kenderaan dan doa ketika memasuki suatu kawasan atau tempat orang.9. Bertakbir bila melalui tempat tinggi dan bertasbih ketika menuruni tempat tinggi. Macam naik kapal terbang pun macam itu juga.

Dari Jabir r.a. dia berkata: “Apabila kami naik kami bertakbir, dan apabila turun kami bertasbih”

(Hadis diriwayatkan oleh Bukhari)

  1. Bernyanyi/Berzikir/Berzanji dsb sebagai hiburan ketika dalam perjalanan supaya tidak stress. Rasulullah suka perjalanan yg menenangkan.

11. Sujud syukur apabila tiba di destinasi.

12. Membeli buah tangan untuk dibawa pulang. Kebanyakan dari kita selalu membeli buah tangan untuk dibawa pulang, tapi sayangnya kita lakukan tanpa mengetahui bahawa ia sebahagian dari sunnah Rasul.

13. Meminta orang bermusafir mendoakan kita memandangkan doa orang yg bermusafir lebih mustajab.

“Tiga doa yg sangat mustajab; doa orang yg puasa, doa orang yg dizalimi dan doa orang yg musafir.” 

(Hadis riwayat Bukhari, Ahmad dan Tirmidzi.)

Dari Umar Bin Khattab r.a dia berkata : aku meminta izin kepada Nabi S.A.W untuk melaksanakan ibadah umrah dan baginda mengizinkanku serta bersabda:

“Jangan engkau lupakan kami dalam doamu, wahai saudaraku”.

(Hadis diriwayatkan oleh Tirmidzi)

Bayangkan, Rasulullah pun minta orang bermusafir mendoakannya.

————————————————-

“Barang siapa yang mengikuti sunnahku, bererti dia cinta kepadaku. Dan barang siapa yang cinta kepada ku, maka akan masuk syurga bersamaku.”