INFO TERKINI STATUS AKREDITASI PENGAJIAN SAINS KESIHATAN DI MESIR

 

Kaherah, Republik Arab Mesir: Pada 15 Julai 2019, wakil PERUBATAN iaitu Presiden dan Majlis tertinggi PERUBATAN (MTP) telah berjumpa dengan Pengarah Education Malaysia Egypt (EME) iaitu Encik Aizal Bin Anual bagi membincangkan berkenaan beberapa isu dan permasalahan yang berlaku dalam kalangan ahli Sains Kesihatan terutamanya mahasiswa tahun 1.

 

Antara perkara yang dibangkitkan dalam pertemuan tersebut ialah status akreditasi sistem pembelajaran tahun 1, status penghantaran pelajar tahun 1 sesi 2019/2020 ke Mesir dan masalah pelajar yang mempunyai gred C dalam SPM.

Status Akreditasi Sistem Pembelajaran Tahun 1

Pihak EME menyatakan bahawa mereka masih lagi menunggu jawapan yang rasmi daripada pihak berwajib di Malaysia berkenaan status akreditasi ini. Sistem pembelajaran tahun 1 ini masih lagi dalam proses perbincangan pihak berwajib di Malaysia dalam mendapatkan pengiktirafan.

Pelbagai usaha telah dilakukan sama ada di peringkat PERUBATAN dan juga EME dalam menyalurkan segala maklumat yang diperlukan oleh pihak berwajib di Malaysia. Namun perkara tersebut masih lagi dalam proses perbincangan di peringkat mereka berkenaan status akreditasi ini.

Dalam pada itu, pihak berwajib di Malaysia juga telah meminta pihak Kementerian Pengajian Tinggi Mesir dan juga pihak Fakulti Perubatan setiap universiti untuk menghantar segala dokumen yang diperlukan oleh mereka dalam menilai akreditasi sistem yang baru ini.

Walau bagaimanapun, sistem pengajian pergigian dan farmasi masih kekal sebagaimana sesi-sesi pengajian yang terdahulu menjadikan kedua-dua fakulti tersebut masih kekal diiktiraf oleh pihak berwajib di Malaysia.

Status Penghantaran Pelajar Tahun 1 Sesi 2019/2020 ke Mesir

Pihak EME memaklumkan bahawa, pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hanya akan menghantar pelajar tahun 1 dalam bidang pergigian dan farmasi ke Mesir sahaja bagi sesi 2019/2020. Sehingga hari ini penghantaran pelajar bagi bidang perubatan ditangguhkan buat sementara sehingga masalah akreditasi sistem tahun 1 ini telah ada jawapannya.

Dengan berpandukan saranan daripada pihak KPM , pihak KPM tidak melantik mana-mana agen bagi urusan permohonan dan penempatan pelajar perubatan ke Timur Tengah dan penggunaan agen atas pilihan dan tanggungjawab pelajar itu sendiri.

Namun masih ada lagi beberapa agensi yang menawarkan juga penghantaran pelajar dalam bidang perubatan ke Mesir. Hal ini agak bercanggah dengan pendirian yang dikeluarkan oleh pihak KPM.

Jika masih ada pelajar perubatan yang datang ke Mesir pada sesi 2019/2020, dibimbangi akan menyebabkan pelbagai permasalahan yang berlaku. Terutamanya apabila ada agen yang bermudah-mudah melanggari syarat kelayakan minimum yang telah ditetapkan oleh KPM. PERUBATAN juga dimaklumkan bahawa pihak EME tidak akan menguruskan sebarang permasalahan yang timbul oleh pelajar perubatan yang datang daripada agen bagi sesi 2019/2020.

Masalah Pelajar yang Mempunyai Gred C dalam SPM

Seperti sedia maklum bahawa antara syarat minimum yang ditetapkan oleh KPM untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang sains kesihatan adalah “sekurang-kurangnya tahap B dalam semua subjek SPM”.

PERUBATAN dimaklumkan oleh pihak EME bahawa masih ada dalam kalangan pelajar sains kesihatan yang mempunyai pangkat C dalam SPM.

Antara implikasi berkenaan masalah ini adalah sijil ijazah sarjana muda perubatan yang dimilikinya tidak akan diiktiraf dan diterima oleh pihak MMC dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Perkara ini agak membimbangkan kerana jika masih ada nama pelajar-pelajar ini tidak dimaklumkan kepada pihak EME, agak susah untuk EME mengadakan perbincangan bersama pihak MMC untuk langkah yang seterusnya bagi menyelesaikan permasalahan yang dihadapi.

Saranan PERUBATAN

1) Status Akreditasi Sistem Pembelajaran Tahun 1

Diharapkan kepada semua pelajar tahun satu sesi 2018/2019 untuk teruskan semangat belajar menuntut ilmu di bumi Mesir ini serta berusaha menyelesaikan yuran dengan kadar segera untuk mengelakkan masalah yang tidak diingini berlaku.

Berkenaan status akreditasi ini, kita mendoakan agar pihak KPM dan MMC akan mengiktiraf sistem ini seterusnya melangsungkan penghantaran pelajar perubatan ke Mesir.

2) Status Penghantaran Pelajar Tahun 1 Sesi 2019/2020 Ke Mesir

Pihak PERUBATAN menggalakkan mana-mana pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan ke Mesir agar datang melalui Kementerian Pelajaran Tinggi (KPT) Malaysia.

Ini kerana, KPT merupakan agensi kerajaan yang dipercayai menguruskan penghantaran pelajar ke Mesir berbanding pihak agen yang tidak dilantik oleh pihak kerajaan.

3) Masalah Pelajar Yang Ada C Dalam SPM

Bagi pelajar yang terlibat, diminta untuk menyerahkan nama anda kepada Biro Akademik (BCAD) setiap cawangan untuk tindakan selanjutnya. Nama-nama yang dikumpul ini akan dihantar kepada pihak EME bagi meneruskan tindakan yang selanjutnya. Diharapkan kepada pelajar yang terlibat untuk memberi kerjasama supaya kita dapat mengelakkan permasalahan yang tidak diingini berlaku.

Untuk Maklumat Lanjut Layari:

1) http://perubatan.org/

2) https://m.facebook.com/mediaPERUBATAN/

Sumber:

  1. http://perubatan.org/kenyataan/514-kenyataan-rasmi-kunjungan-hormat-perubatan-ke-education-malaysia-egypt-eme