MENYAMBUNG PELAJARAN KE MESIR

Berat untuk saya katakan ini. Tetapi bagi mengelakkan kemudaratan yang lebih besar, maka perkara ini perlu diberitahu juga sebelum perkara yang menyedihkan berulang lagi.

Tulisan ini ditujukan kepada ibubapa yang ingin menghantar anak belajar medic/dentist/pharmacy ke Mesir sini, dan juga ditujukan khas untuk adik-adik di Malaysia yang ada menyimpan cita-cita murni ini.

Saya antara yang telah 4 tahun belajar di sini, memang secara peribadinya sangat mengharapkan kedatangan adik-adik baru ke sini.

Kedatangan anda ke sini sebenarnya sangat menggembirakan sebahagian kami di sini, kerana ada banyak perkara menarik yang suka untuk dikongsikan bersama-sama di sini sebenarnya.

Cuma sebelum membuat keputusan menyambung pelajaran di sini, ada satu perkara yang perlu dipastikan betul-betul mampu untuk ditanggung terlebih dahulu sebenarnya.

KEWANGAN & KOS PENGAJIAN.

Perlu diketahui kos USD8000 setahun sebenarnya bukan satu nilai yang sedikit. Apatah lagi apabila kos itu perlu didarabkan sebanyak 6 tahun.

Bagi adik-adik yang mampu dapatkan tajaan, anda tidak perlu teruskan membaca tulisan ini. Adik-adik hanya perlu banyakkan bersyukur dan rancang betul-betul penggunaan duit yang tidak mengkhianati rakyat.

Duit rakyat yang adik-adik bakal dapat itu akan dipersoal di akhirat kelak. Jangan lupa.

Bagi yang hanya bersumberkan kewangan ibubapa, tulisan ini khusus untuk anda.

Perlu diingat, peluang untuk mendapatkan tajaan di Mesir sekarang peluangnya sudah tidak sebanyak seperti dahulu. Banyak biasiswa-biasiswa yang telah tidak disediakan lagi pada hari ini.

Jika ada pihak yang menjanjikan kepada anda ayat-ayat sebegini,

“Takpe, untuk tahun pertama ini pergi dahulu guna duit sendiri, nanti tahun ke-2 atau tahun ke-3 nanti boleh apply biasiswa pula.”

Maka jangan percayakan janji-janji manis sebegini. Janji-janji palsu sebegini hanya akan memakan diri kita sahaja di masa hadapan nanti sebenarnya.

Ditambah lagi dengan krisis ekonomi dunia yang melanda Mesir hari ini, menjadikan segala kos sara hidup di sini meningkat pada hari ini.

Pesan saya tolonglah pastikan sumber kewangan anda betul-betul kukuh terlebih dahulu sebelum datang ke sini.

Tidak sampai hati lagi nak lihat ada mak ayah terpaksa menebal muka untuk meminta sedekah sehinggakan ada yang terpaksa gadai tanah semata-mata kerana nak bayar yuran anak mereka di sini. Kasihan sangat.

Isu kewangan ini bukan isu lama sebenarnya. Bahkan PERUBATAN sebagai persatuan induk pelajar sains kesihatan di sini pun telah berkali-kali berhempas pulas cuba membantu sehabis mampu sebenarnya.

Salah satu buktinya apabila perkara ini pernah dibangkitkan perbincangannya oleh ahli dalam Mesyuarat Tahunan Cawangan PERUBATAN Cawangan al-Azhar (MTC) sebelum ini. Dalam Mesyuarat Agung Tahunan PERUBATAN (MAT) yang lepas juga perkara ini antara yang menjadi pertimbangan ramai sebenarnya.

“Sebenarnya banyak kelebihan menyambung pelajaran ke sini (saya tidak berhasrat untuk jelaskan di sini), tetapi apa yang lebih penting lagi sebelum itu adalah untuk memastikan faktor kewangan itu betul-betul stabil dan kukuh dahulu sebenarnya.”-Amirul Azmeer

Maafkan saya kerana mungkin ada beberapa pihak kurang bersetuju dengan tulisan ini didedahkan, tetapi saya terpaksa ceritakan juga di sini kerana tidak sampai hati mengenangkan kepada kesan jangka masa panjangnya yang terlalu sedih untuk kita ceritakan.

Ingat, jangan percaya dengan janji-janji manis yang didengari.
Bertanyalah kepada ahlinya jika betul anda berhasrat untuk tahu.

Mudah-mudahan Allah SWT membantu dan mempermudahkan segala niat baik kita.

Amirul Azmeer bin Asmadi
Pelajar Tahun Akhir,
Kuliah Perubatan Universiti al-Azhar.